Berita

Iklim jadi antara punca, tanah mendap di kawasan geologi tidak stabil

- Diterbit 30 Ogos 2024 9:00 AM MYT

PERUBAHAN iklim (climate change) yang ekstrem telah memberikan impak-impak yang buruk terhadap negara Malaysia. Malah perubahan tersebut telah menyebabkan beberapa kawasan terdedah dengan bencana alam termasuklah baru-baru ini tragedi tanah mendap yang berlaku di Masjid India.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata kesan-kesan perubahan iklim atau cuaca yang melampau kini dapat dirasai negara.

Malah menurutnya, kerajaan perlu fokus mengkaji kawasan-kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian bencana alam pada masa hadapan.

“Faktor-faktor seperti hujan lebat berterusan, banjir, cuaca panas melampau ini boleh menyumbang kepada kejadian seperti tanah runtuh selain tanah mendap atau jerlus yang berlaku baru-baru ini.

“Kerajaan perlu adakan plan atau perancangan khas bagi menangani isu bencana ini terutamanya di kawasan geologinya tidak stabil sebagai contoh tanah batu kapur, dahulunya lombong dan sebagainya,” katanya kepada Wilayahku.

Tambah Nor Shahidah, keadaan hujan yang berterusan baru-baru ini dipercayai menjadi antara faktor kepada berlakunya insiden tanah mendap di Masjid India.

Jelasnya lagi, keadaan tersebut akan menyebabkan aliran air sekali gus  wujudnya rongga kosong kerana permukaan lapisan tanah di bahagian bawah telah mengalami hakisan.

“Jika dilihat, sebelum kejadian tersebut, Kuala Lumpur dilanda hujan berterusan, air sungai berlimpahan. Ini menunjukkan bahawa tanah berada dalam keadaan ketumpuan yang sangat tinggi dan aliran air pula telah memburukkan lagi hakisan.

“Jadi beberapa kawasan akan mengalami pengangkatan sedimen secara berterusan menyebabkan kewujudan rongga kosong yang agak besar dan akhirnya akan runtuh apabila permukaan atas itu tidak dapat menampung beban yang ada,” ujarnya.

Jelas Nor Shahidah, tanah mendap boleh berlaku akibat daripada kawasan yang didasari batu kapur kerana ia bersifat boleh melarut dalam air. Dalam masa sama, ia juga boleh membentuk rongga dipanggil sebagai kaviti yang menyebabkan runtuhan dinding dipanggil sebagai lubang benam (sinkhole).

“Walau bagaimanapun, pelarutan batuan kapur memakan masa yang agak lama sehingga ratusan atau jutaan tahun,” jelasnya lagi.

Mengulas berkenaan berita yang tular di media sosial berhubung KL giant sinkhole, Nor Shahidah berpendapat ia sebagai mitos sahaja.

“Kuala Lumpur sudah terbina sejak sekian lama, apabila pembangunan dilakukan, ada tanah yang ditambak menjadikan ia sebagai satu foundation secara tidak langsung mempunyai satu kawasan pembinaan yang stabil.

“Cuma keadaan iklim dengan perubahan cuaca yang melampau  disumbang limpahan air tinggi menyebabkan sungai melimpah atau  kawasan sekitarnya mengalami ketumpuan yang boleh menyebabkan hakisan dan boleh menggoyahkan tanah yang pada dasarnya stabil menjadi tidak stabil.

“Namun, saya tidak menafikan ade kewujudan tanah-tanah mendap yang kecil di sekitar Kuala Lumpur tetapi ia boleh diatasi dengan teknik-teknik kejuruteraan yang ada sekarang ini,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas