MEMASANG impian untuk beraksi di pentas Olimpik, atlet menembak Wilayah Persekutuan, Muhammad Ikhmal Syafiq Mat Zuki, 23, menjadikan penembak rifle Itali, Niccolo Campriani sebagai idolanya.
Baginya, untuk sampai ke tahap itu, dia perlu bekerja keras di samping memberi komitmen yang tinggi sama seperti yang dilakukan idolanya itu.
“Selain Niccolo Campriani, saya turut terinspirasi dengan jurulatih saya sendiri iaitu Zamil Ahmad Murad. Dia banyak mencurahkan ilmu, menyalurkan bantuan serta peralatan yang lengkap setiap kali waktu bertanding.
“Tanpa tunjuk ajar daripada beliau, tidak mungkin saya akan berada di tahap seperti sekarang. Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting sebagai tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan selama ini,” ujar anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini.
Menurut pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dan Rekreasi di UiTM Shah Alam ini, sukan menembak nampak mudah namun sebenarnya amat menguji tahap konsenstrasi seseorang pemain.
“Sukan menembak mempunyai keistimewaan tersendiri selain memerlukan strategi dan teknik permainan yang baik untuk mencipta kemenangan.
“Ia sebenarnya menguji tahap mental seseorang. Jika ingin libatkan diri dalam menembak, atlet perlulah mempunyai persediaan mental yang tinggi kerana tanpa kekuatan mental, seseorang itu tidak mampu menjadi pemain terbaik.
“Seterusnya, ia mencabar diri saya untuk sentiasa memberikan aksi cemerlang dalam mengasah minda untuk berfikir secara logik pada setiap pertandingan yang disertai. Jika pemain mula memahami rentak dan gaya sukan ini maka percayalah keseronokan itu akan timbul dengan sendiri,” ujarnya kepada Wilayahku.
Di samping itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini juga sentiasa berusaha meningkatkan prestasi serta memperbaharui rekod peribadi ke tahap yang lebih optimum. Kerana itu, dia amat mementingkan latihan secara konsisten setiap hari.
“Saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Dengan latihan, kerja keras dan fokus, saya yakin akan berjaya,” tambahnya latihan berterusan sangat penting untuk meningkatkan teknik dan ilmu menembak. – WILAYAHKU