Oleh KHAIRUL IDIN
PUSAT Aset Digital Islam (IDAC) yang dilancarkan pada Oktober 2022 oleh Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dilihat mampu meningkatkan keterangkuman kewangan.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa, inisiatif IDAC bertujuan untuk menjadi platform pengumpulan dana dan pelaburan maya melalui pertukaran aset digital.
“Pertukaran ini akan memudahkan pengeluaran, penyenaraian dan dagangan token sekuriti yang boleh dirangka untuk patuh syariah atau prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Ia bersandarkan aset dan berdasarkan prinsip perkongsian risiko yang bergantung pada aset asas.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai contoh, boleh mengambil bahagian dalam IDAC untuk mengumpul dana melalui tawaran token sekuriti (STO), mendigitalkan sekuriti yang mematuhi undang-undang syariah, seterusnya mengeluarkan token digital Islam,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Industri Labuan 2023 di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, token digital tersebut boleh diakses oleh individu di seluruh dunia kerana ia tersedia dalam unit yang kecil dan menggalakkan keterangkuman.
“STO juga membolehkan penerbit menarik pelabur yang lebih meluas, menawarkan pelaburan kos efektif dan cair yang mudah dikeluarkan dengan menjualnya melalui bursa,” ujar beliau.
Katanya, instrumen pembiayaan bersandarkan aset ini, apabila digunakan untuk tujuan produktif, memudahkan perkongsian risiko ekuiti dan juga memastikan kestabilan dan kemampanan sekali gus lebih dipercayai daripada pembiayaan hutang.
“Labuan IBFC bersedia untuk menjadi hab bagi kewangan Islam berasaskan digital, memupuk rangkuman kewangan dan menjadi model bagi kewangan global pada masa hadapan,” jelasnya. – WILAYAHKU