PENIAGA Bazar Ramadan Putrajaya iaitu Ihya Ramadan, Salina Mokhtar tidak dapat menahan sebak apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ‘tapau habis’ produk jualannya hari ini.
Menurut Salina atau lebih dikenali sebagai Sally Hayden, kehadiran Shahidan bersama isterinya ternyata membawa tuah kepadanya sepanjang dirinya bergelar peniaga.
Sally yang berniaga di Booth Wilayahku itu menjual produk acar soya, Acar Mami Sally dan ikan bilis.
“Alhamdulillah… Syukur kepada Allah rezeki saya hari ini. Datuk Seri dan isteri ‘tapau habis’ semua produk yang saya jual.
“Saya tak dapat menahan sebak dan menangis kegembiraan apabila beliau cakap mahu beli semua produk yang saya jual. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Nampaknya esok saya terpaksa ambil stok baru kerana semua dah habis,” katanya dengan nada gembira.

Sally menyifatkan sokongan yang diberikan Shahidan menggambarkan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan memahami keperitan yang dialami masyarakat akibat pandemik COVID-19.
“Beliau memang seorang yang berjiwa rakyat dan sangat prihatin. Beliau sendiri turun padang melihat bagaimana peniaga-peniaga di sini berusaha gigih mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
“Saya yakin semua peniaga di Bazar Ramadan Putrajaya ini seronok dan bersemangat untuk memajukan diri dalam bisnes,” katanya lagi.
Sinonim dengan bulan beribadah, Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP2022) pada tahun ini dijenamakan semula dengan diberi nama baharu iaitu Program Ihya’ Ramadan.
Terdapat empat komponen dalam program tersebut iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.
Program ini turut diserikan dengan penampilan selebriti antaranya Noraniza Idris, Zarina Zainuddin, Azan Scan yang turut membuka gerai jualan produk masing-masing. – WILAYAHKU