Fokus

Ibu bapa ‘digaji’ jadi pengasuh cucu

- Diterbit 4 Julai 2025 7:09 PM MYT

DALAM dunia yang mengejar hidup serba moden ini, semakin ramai dalam kalangan kita menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak kepada ibu bapa sendiri, termasuk yang sudah lanjut usia.

Sibuk dengan kerjaya, ibu bapa ‘digaji’ dan dijadikan sebagai pengasuh kepada cucu-cucu mereka biarpun tahu ia bukanlah tugas yang sepatutnya digalas oleh mereka yang sudah berusia itu.

Walaupun niatnya mungkin untuk menjimatkan kos atau kerana kepercayaan terhadap orang tua sendiri, hakikatnya golongan warga emas ini juga mempunyai keperluan rehat kerana faktor kesihatan yang semakin merosot.

Persoalannya, adakah tindakan ini wajar atau sebenarnya membebankan warga emas yang sepatutnya menikmati usia senja mereka dengan tenang?

Memberi pandangan tentang perihal itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salina Nen berkata konsep menjaga cucu bukanlah satu kewajipan dan kemestian, tetapi lebih kepada satu pertolongan atau bantuan yang sering dihulurkan oleh datuk dan nenek bagi memudahkan anak-anak yang bekerja.

SALINA

“Masyarakat masih kental dengan tanggapan bahawa penjagaan cucu oleh ahli keluarga sendiri itu lebih baik daripada menyerahkan cucu atau anak untuk dijaga oleh orang lain khususnya dari aspek keselamatan. Datuk, nenek dilihat paling sesuai kerana mereka selalunya mempunyai lebih banyak masa terluang, tidak mempunyai komitmen tinggi di luar dan juga mungkin faktor pengubat kesunyian datuk atau si nenek.

“Faktor lain ialah kerana kewangan, datuk nenek yang menjaga cucu dilihat sebagai pilihan terbaik kerana tidak perlu mengeluarkan kos mahal. Ada datuk nenek yang menjaga cucu secara percuma tanpa bayaran dan jika ada bayaran pun, bayaran biasanya lebih rendah daripada yang dikenakan oleh pusat jagaan, taska atau pengasuh lain.

“Kesediaan datuk nenek menjaga cucu perlu datang dari kesanggupan dan kerelaan, bukan berbentuk paksaan. Anak-anak yang merancang untuk meminta ibu bapa menjaga cucu perlu melihat dari beberapa perkara seperti keadaan kesihatan, kesanggupan dan keperluan datuk nenek menjaga cucu,” jelas
beliau.

Tambahnya walaupun datuk nenek kelihatan banyak masa senggang, kadangkala mereka juga ingin meluangkan masa melakukan aktiviti di luar, merapatkan silaturahim dengan komuniti setempat, orang tua sekitar kawasan, melancong dan sebagainya.

“Mengikat mereka dengan komitmen menjaga cucu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perkara sebegini, sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan dewasa lewat mereka.

“Datuk nenek walaupun telah berusia, mungkin masih mempunyai keinginan menjalani kehidupan luar yang aktif sesuai dengan usia mereka. Jadi, sekiranya ada pilhan lain, jangan letakkan datuk nenek yang telah berusia sebagai pilihan utama untuk menjaga cucu.

“Faktor kesihatan juga perlu dilihat, jika datuk nenek sanggup tetapi tidak sihat, adalah tidak wajar untuk meletakkan beban menjaga cucu kerana menjaga anak kecil yang aktif dan masih bersekolah misalnya adalah satu komitmen tinggi dan boleh memberikan tekanan kepada datuk nenek yang biasanya cepat penat dan letih kerana faktor usia,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam sesetengah keadaan, datuk nenek atau warga emas ini dijadikan penjaga sementara ibu bapa bekerja.

“Situasi ini boleh membebankan fizikal datuk nenek yang biasanya mempunyai masalah kesihatan atau mengalami penurunan tahap kesihatan kerana faktor usia.

“Ada juga kes di mana anak-anak menyerahkan cucu kepada datuk nenek di kampung dan hanya datang mengambil anak ketika hujung minggu. Segala keperluan cucu sepanjang waktu tersebut dipikul sepenuhnya oleh datuk dan nenek.

“Ini boleh mencetuskan keletihan fizikal bagi datuk nenek yang telah lanjut usia dan tidak mempunyai pembantu atau ahli keluarga lain untuk memantau cucu sepanjang tempoh tersebut.

“Dari satu aspek, menyerahkan anak untuk tinggal di kampung dan bersekolah di kampung, dan dibesarkan oleh datuk nenek kelihatan satu senario yang ideal, namun dari sudut yang lain, ia memberikan beban penjagaan kepada warga emas,” jelasnya menambah, kadang-kadang ibu bapa memendam perasaan sendiri kerana tidak sampai hati memberitahu anak-anak.

Dalam masa sama, dapat dilihat secara umumnya masyarakat Malaysia belum terdedah secukupnya dengan isu tekanan yang dialami warga emas akibat menjaga cucu.

“Kita mempunyai tanggapan bahawa menjaga cucu adalah lumrah dan perkara biasa, sedangkan ia melibatkan kesihatan fizikal, emosi dan hak warga emas yang terabai.

“Dalam erti kata lain, menjaga cucu itu dinormalisasi sebagai perkara biasa dan tanggungjawab semula jadi datuk nenek, tanpa menyedari beban tersembunyi yang wujud.

“Kajian-kajian pula banyak memfokus kepada parental burnout dan berbanding tekanan warga emas sebagai penjaga. Apabila ketiadaan kajian mencukupi, data dan statistik untuk menyokong isu ini, maka secara tidak langsung isu ini kurang difahami oleh masyarakat umum dan pembuat dasar,” katanya.

Anak soleh meringankan‚ bukan membebankan

APABILA anak-anak meningkat dewasa dan berkeluarga, ini bermaksud kedua ibu bapanya sudah menganjak ke usia
tua. Kebanyakannya, ketika ini tubuh badan mereka semakin lemah dan tidak sekuat dahulu. Malah pada saat ini ada ibu bapa yang diuji dengan pelbagai penyakit.

Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Dakwah dan Jaringan, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Naemah Hamzah, pada saat itu sudah tiba masanya anak-anak berdikari dan menyusun kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada ibu bapa seperti saat mereka masih kecil dahulu.

NAEMAH

“Sudah menjadi kewajipan seorang anak yang telah dewasa hendaklah kembali berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah membesarkan mereka. Bukan lagi pada saat ini anak-anak masih mengharapkan ibu bapa mereka memenuhi belanja rumah, menjaga anak-anak mereka (cucu-cucu) dan menguruskan rumah tangga.

“Sebab itu, kita jumpa ayat-ayat daripada ibu bapa yang mengatakan, cukuplah kami dah penat jaga anak-anak dulu, sekarang masa kami nak rehat dan perbanyakkan amal ibadah,” kata beliau kepada Wilayahku.

Tambahnya terdapat banyak dalil daripada Al-Quran dan hadis Nabi SAW supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa terutamanya apabila mereka berada di usia tua.

Katanya Nabi SAW mengingatkan anak-anak yang sempat bersama ibu bapanya tetapi tidak berbakti kepada keduanya serta tidak menggunakan saat ini untuk dia dimasukkan ke dalam syurga.

Sabda Baginda SAW: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?. Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” – Riwayat Muslim (2551).

Naemah berkata memetik Muhammad ‘Uqlah dalam kitabnya Nizom al-Usrah fi al-Islam, hukum berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib dan termasuk dalam kefarduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Mentaati ibu bapa dan berbuat baik terhadap keduanya merupakan kunci untuk mendapat keredaan Allah SWT, dimurahkan rezeki, keberkatan hidup dunia dan akhirat serta ganjaran syurga,” katanya.

Mengulas lanjut, Naemah berkata apabila membicara tanggungjawab anak yang telah berumah tangga hal ini berkait dengan hukum perkahwinan.

“Semua pasangan ditaklifkan dengan tugas dan tanggungjawab yang sama setelah berkahwin sebagai seorang suami dan isteri. Anak-anak yang telah berkahwin tidak wajar meletakkan beban seperti menjaga anak, urusan rumah tangga dan kewangan kepada kedua ibu bapa. Merekalah yang berkewajipan menjalankan hak dan tanggungjawab tersebut dalam bahtera rumah tangga yang dibina tersebut.

“Justeru itu, sebelum berkahwin anak ini perlu tahu hukum berkaitan perkahwinan adakah dia berada dalam hukum wajib, sunat, haram atau harus berkahwin. Asal hukum perkahwinan adalah harus apabila tidak terdapat perkara menghalang berlakunya perkahwinan tersebut.

“Oleh itu, anak-anak yang telah memilih untuk berkahwin maka mereka adalah dalam kategori yang layak dan mampu untuk menjalankan fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai seorang suami dan isteri. Merekalah yang bertanggungjawab menyediakan keperluan dalam rumah tangga termasuk berkaitan penjagaan dan pendidikan anak-anak yang lahir daripada benih mereka sendiri. Mereka juga bertanggungjawab menyuapkan rezeki yang halal dan baik ke mulut anak-anak mereka agar berkembang dari segi fizikal, mental dan tingkah laku yang baik,” katanya.

Tambahnya hal ini terkecuali jika anak-anak mereka ini sangat bertanggungjawab dalam keluarga sendiri namun musibah kesihatan atau kemalangan menimpa mereka.

“Pada situasi ini, ibu bapa boleh membantu mengambil alih tugas tersebut sebagai ihsan dan berbuat baik dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Dalam masa sama beliau turut menasihati ibu bapa yang berdepan dengan keletihan menjaga cucu agar menyayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum orang lain.

“Ibu bapa seharusnya melatih anak-anak sejak kecil untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa mereka dengan melatih membantu tugasan rumah tangga.

“Selain itu, ibu bapa juga mestilah meletakkan kepercayaan pada anak-anak bahawa mereka mampu untuk menguruskan rumah tangga sendiri dan membuat keputusan yang terbaik untuk keluarga yang mereka bina. Apabila mereka telah memilih untuk berumah tangga maksudnya mereka telah bersedia untuk semua perkara berkaitan perkahwinan termasuk nafkah, pendidikan dan penjagaan anak,” katanya.

Jangan sampai ambil kesempatan

DALAM kesibukan mengejar komitmen harian, datuk mahupun nenek yang menjaga cucu turut menghadapi tekanan emosi dan fizikal. Beban tanggungjawab yang berpanjangan ditambah dengan kekangan usia dan kesihatan boleh menjadi semakin serius jika ia tidak ditangani dengan baik.

Menurut Pakar Psikologi Kaunseling Surau Al-Manar, Presint 14, Putrajaya, Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, terdapat empat perkara dalam bidang kaunseling yang diterapkan untuk membantu mereka yang sedang berdepan dengan tekanan.

MOHAMED FADZIL

“Pertama, kaunselor akan menyediakan perkhidmatan penyelesaian masalah diikuti teknik-teknik pemulihan yang dibuat melalui program-program bersama kementerian, badan bukan kerajaan, masjid mahupun
surau.

“Seterusnya membantu dari segi pengurusan krisis, contohnya di Surau Al-Manar, Presint 14, mereka yang mempunyai masalah dialu-alukan untuk datang dan kita akan bantu sebaik mungkin.

“Antaranya dari segi pencegahan, melalui kumpulan WhatsApp kita akan salurkan banyak info-info berkaitan kaunseling keluarga dan perkahwinan
untuk membantu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesan kepada anak-anak agar tidak bergantung harap kepada ibu bapa kerana ia boleh membuatkan akhirnya diri sendiri mengambil kesempatan.

“Andai ibu bapa mahu dan rela itu mudah sikit tetapi kadang-kadang kita suka ambil kesempatan sebab kita tahu ibu bapa kita rela. Jika boleh elakkan biarpun mereka rela namun jika sebaliknya, kena sentiasa pastikan wujudnya komunikasi yang baik, perlu ada hadnya dan jangan sesekali lepas tangan kepada ibu bapa mahupun kaum keluarga lain contohnya adik-beradik yang belum berkahwin dan sebagainya.

“Jika sedar diri sudah terambil kesempatan dalam hal ini, segeralah meminta maaf kerana hubungan kekeluargaan itu perlu dijaga agar sentiasa harmoni. Kita sebagai orang yang dibantu, janganlah terlebih menggunakan kudrat orang lain untuk kepentingan diri sendiri,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas