Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
PENDEDAHAN terhadap hafazan Al-Quran pada usia yang masih muda adalah langkah yang tepat. Ini kerana kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun berada dalam lingkungan usia keemasan (golden age) di mana proses perkembangan kanak-kanak ketika itu boleh dianggap ‘luar biasa’.
Menurut salah seorang bapa, Abdul Halim Mehalip, program tersebut dapat memberi manfaat buat mereka apabila melangkah ke alam dewasa.
“Program ini membantu memberi keseimbangan dalam akademik awal serta pengenalan asas terhadap Al-Quran tambahan pula surah-surah yang dihafaz boleh dipraktikkan dalam solat jadi ia bukanlah perkara yang sia-sia.
“Dalam masa yang sama, diharapkan agar ibu bapa pelajar terlibat dapat memberikan kerjasama yang baik kepada guru-guru,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi TABIKA KEMAS Bunga Alamanda berkata rata-rata ibu bapa memberikan kerjasama yang sangat baik malah perkembangan anak-anak bagi program ini juga adalah positif.
“Saya faham tidak semua ibu bapa mampu untuk memberi komitmen sepenuhnya namun diharapkan bacaan anak-anak ini dapat dipraktikkan di rumah juga supaya mereka lebih cepat menghafaz.
“Saya percaya banyak kebaikan yang diperoleh dan saya harapkan anak-anak dapat menguasai semua surah-surah yang telah diberikan dengan baik serta memahami tafsiran di sebalik ayat tersebut supaya lebih dekat dengan Al-Quran,” katanya.
Menangkis tanggapan sesetengah masyarakat yang menganggap program tersebut membebankan, Abdul Halim berkata sesi hanya diadakan dua minggu sekali selama satu jam selain ia tidak mengganggu waktu pembelajaran yang asal. – WILAYAHKU