PENYANYI era 1980-an, Ibnor Riza yang menderita kanser limfoma tahap empat mendapat perhatian pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi.
Aznil atau juga dikenali sebagai Pak Nil tergerak hati untuk membantu apabila melihat video luahan Ibnor yang terpaksa menjual tiga buah kereta miliknya bagi membiayai kos rawatan kanser yang dihidapi.
Ibnor Riza membuat tindakan tersebut bertujuan untuk menampung kos rawatan dan menyara kehidupan selepas terputus punca pendapatan sejak November lalu.

Menurut Pak Nil, selain berdoa rakyat perlu sama-sama membantu Ibnor dalam meneruskan kehidupan.
“Kali ini Pak Nil buka akaun Pak Nil untuk anda sampaikan derma infak anda kepada abang Ibnor Riza. Dia sendiri tak minta untuk derma ini dilakukan. Pak Nil tahu sebagai seorang anak seni, dia rasa masih lagi boleh cari duit dalam keadaan sekarang.
“Pak Nil terfikir ini mungkin akan melambatkan proses untuk mendapatkan duit atau ia akan mengganggu lebih teruk lagi kesihatan dia,” katanya.
Aznil berkata biarpun tidak meminta dibantu, sebagai penggiat seni dia tetap mengambil inisiatif membantu Ibnor Riza.
Mereka yang sudi boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 564735809375 (Aznil Nawawi).

Terdahulu Aznil, pernah membantu mengumpul dana untuk membantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis tahun lalu.
Usaha ini berjaya mengumpul wang berjumlah lebih RM100,000 dan penyanyi popular terbabit selamat menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada 7 November tahun lalu.
Pak Nil juga akui kagum dengan semangat Ibnor yang masih terus menyanyi demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Dia cakap dia masih lagi nak menyanyi untuk tampung hidup, kos kesihatan dan juga kos sara hidup. Pak Nil tak tahulah dalam keadaan kesihatannya sebegitu, berapa banyak ‘show’ dia mampu buat.
“Dan berapa banyak duit yang boleh dia kumpul untuk kelangsungan hidup dan kos perubatan dia kena buat kemoterapi dan pada waktu yang sama, kos perubatannya sangatlah mahal.
“Pak Nil terpanggil sekali lagi untuk membantu penyanyi Ibnor Riza yang kita membesar dengan lagu-lagunya,” tambahnya lagi.