Berita

Hubungan Malaysia dan China terus dipupuk sempena ulang tahun ke-50

Kredit: SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 31 Mei 2024 11:12 AM MYT

Kerajaan MADANI komited untuk memupuk hubungan antara Malaysia dan China yang menyambut ulang tahun ke-50, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada 31 Mei 1974, Malaysia dan China telah membentuk semula landskap geopolitik Asia, dengan memulakan hubungan diplomatik antara kedua negara.

“Malaysia kekal menjadi sebuah negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara untuk merapatkan jurang ini.

“Walaupun terdapat sebab untuk mengelakkannya – jurang perbezaan ideologi kami, perbezaan yang nampak tidak selari – pemimpin kami berani untuk berfikir di luar kebiasaan dan bertindak berani. Langkah ini telah berkembang menjadi satu perkongsian yang hebat dan bermanfaat.

“Kerajaan MADANI komited untuk memupuk hubungan penting ini demi kemakmuran rakyat dan seluruh rantau ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar berkata beliau teruja untuk menerima lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia bagi meraikan peristiwa bersejarah ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas