Berita

Hubungan diplomatik 50 tahun: Malaysia, Bahrain perkukuh kerjasama dua hala

WISMA Putra Kementerian Luar Negeri Malaysia
- Diterbit 24 Disember 2024 9:17 PM MYT

MALAYSIA dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor kepentingan bersama sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Bahrain, kedua-dua negara bertekad untuk memajukan aspirasi bersama dalam pelbagai sektor merangkumi tenaga, perbankan dan kewangan Islam, pembuatan, pengangkutan selain pembuatan produk halal.

Ia juga jelasnya, melibatkan keselamatan makanan, hab logistik, teknologi maklumat dan komunikasi, pelancongan, budaya dan pendidikan, alam sekitar serta tenaga boleh diperbaharui.

“Tahun ini, Kerajaan Bahrain dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan mengiktiraf kemajuan serta pembangunan yang cemerlang dalam pelbagai bidang politik, ekonomi, budaya dan sosial di bawah kepimpinan Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Pada kesempatan ini, Kerajaan Bahrain dan Malaysia berbangga dengan hubungan yang telah lama terjalin serta perkongsian kukuh antara kepimpinan dan rakyat, dan perkembangan berterusan berdasarkan kepercayaan, saling menghormati, nilai kemanusiaan dan kepentingan bersama,” jelas kenyataan bersama itu yang dikongsi Wisma Putra.

WISMA Putra Kementerian Luar Negeri Malaysia

Menurut kenyataan bersama itu, hubungan antara Bahrain dan Malaysia kini lebih kukuh melalui pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara pemimpin kedua-dua negara, yang terus memperdalam ikatan persaudaraan dan persahabatan bilateral.

Melangkah ke hadapan katanya, Bahrain dan Malaysia komited memperdalam kerjasama dua hala merentasi semua bidang kepentingan bersama untuk membina masa depan lebih makmur dan berdaya tahan.

Ia katanya, menyumbang kepada kestabilan serta pembangunan kedua-dua negara serta rantau yang lebih luas.

Dalam pada itu, Malaysia dan Bahrain juga komited memperkukuhkan kerjasama multilateral antarabangsa melalui peranan aktif dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas