Berita

Hubungan baik Malaysia-Mesir permudah penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 5 November 2023 2:10 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik Malaysia dan Mesir membolehkan bantuan kemanusiaan dari negara ini, dihantar untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata perkara itu terbukti, apabila Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi mengotakan janjinya untuk mempermudahkan urusan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

“Dalam pertemuan dengan (Presiden Mesir), sentimennya sangat baik dan saya minta beri keutamaan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

Alhamdulillah, dia (Abdel Fattah) pegang kepada janji. Malaysia dan pesawat kita sampai antara paling cepat, diberi layanan dan dapat seberangan sempadan… sebab itu hubungan dua hala perlu ditingkat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, pesawat kargo 9M-WCA yang membawa penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan, telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish di Mesir.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas