Berita

HRP2023 dijangka meriah, sarat aktiviti menarik

PARA pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik di HRP2023.
- Diterbit 6 Oktober 2023 2:00 AM MYT

HARI Rekreasi Putrajaya 2023 (HRP2023) kembali membuka tirainya dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik menanti pengunjung yang hadir pada 14 Oktober ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, inisiatif program tersebut dilaksanakan adalah bagi menjenamakan Putrajaya sebagai bandar rekreasi selain menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesihatan, mempromosikan keindahan serta kepelbagaian rekreasi di pusat pentadbiran negara itu.

“Acara tahunan kegemaran ramai ini akan bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 petang dan kita juga masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

“Pemilihan tempat di Anjung Floria adalah bertepatan dengan pengisian utama HRP2023 iaitu acara perkelahan kerana ia terkenal sebagai spot terbaik untuk menikmati matahari terbenam di Putrajaya.

“Di samping itu, Anjung Floria juga merupakan salah satu destinasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti beriadah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Selain itu, beliau memaklumkan HRP2023 turut mensasarkan pengiktirafan bagi rekod The Longest Picnic Line (Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia) oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).

“Anggaran minima sasaran peserta perkelahan adalah seramai 1,000 orang bagi 250 lot perkelahan dengan ukuran sekurang-kurangnya 500 meter panjang.

“Selain menjadi sebahagian daripada rekod pengiktirafan MBOR, peserta perkelahan akan turut terlibat dalam pertandingan lot piknik tercantik yang dipertandingkan dalam enam kategori iaitu terbuka, komuniti Putrajaya, pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar universiti, pengatur acara (event planner) serta pempengaruh (influencer),” ujarnya.

Tambah Fadlun, para pengunjung juga boleh menyertai aktiviti sampingan menarik iaitu memanah, petting zoo, mini flying fox, aktiviti seni dan kraf tangan, tree climbing, remote control show, pameran campsite daripada jenama-jenama barangan outdoor terkenal, bazar jualan daripada Pasar Seloka, Car Boot Sale Kota Damansara dan PUSPANITA Putrajaya.

“Untuk aktiviti rekreasi air pula, mereka boleh menyertai pertandingan open water swimming, kayak rekreasi, klinik stand-up paddle (SUP), water taxi, SUP sunset dan slack line,” ujarnya.

Lebih menarik, Fadlun berkata HRP2023 turut dimeriahkan dengan lebih daripada 17 jenis aktiviti sukan kenangan antaranya pertandingan tiang licin, tangkap itik, tarik tali dalam air, gusti bantal dalam air dan istana pasir.

“Bagi penggemar makanan pula, HRP2023 bakal menyajikan pelbagai makanan dan juadah menarik buat para pengunjung seperti Lepak Corner, food truck dan jualan penjaja kecil,” ujarnya yang berharap program tersebut dapat menggalakkan pengusaha kecil dan usahawan muda tempatan bagi mengetengahkan produk mereka secara meluas dan lebih dekat dengan orang awam.

Dalam masa sama, Fadlun berharap penganjuran HRP2023 secara tidak langsung dapat memperkenalkan Putrajaya sebagai bandar mesra rekreasi yang dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

“Pihak kami juga berharap Sambutan HRP2023 dapat menjadi acara tahunan yang akan disambut di peringkat kebangsaan selain menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terutamanya terhadap penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan dan sokongan kepada gaya hidup sihat serta aktif,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas