EKSPO Halal Malaysia 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Mines anjuran HQC Commerce Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) selama tiga hari hujung bulan lalu berjaya mengumpul pelbagai syarikat dan pihak berkepentingan di bawah industri halal Malaysia.
Sebanyak 130 pempamer dengan jumlah 240 reruai mengambil bahagian yang bertujuan mempromosi produk dan perkhidmatan terkini di samping menggalakkan permohonan pensijilan halal di kalangan usahawan mikro dan kecil.

Pengerusi Penganjur, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, ekspo tersebut membuka lebih banyak platform kepada syarikat pemula mempamerkan produk di samping memainkan peranan penting untuk mengukuhkan industri halal di negara ini.
“Ekspo bertemakan ‘merentasi sempadan’ bersesuaian dengan persekitaran ekonomi semasa di samping memperkasa usahawan PKS supaya mengoptimumkan pencapaian perniagaan dengan me-langkaui sempadan pasaran yang sedia ada.
“Matlamat lain untuk mendedahkan usahawan mengambil bahagian dalam pasaran halal yang lebih kukuh serta menggalakkan mereka mencapai tahap baharu yang lebih baik.
“Selain pelbagai agensi kerajaan, badan korporat dan syarikat ternama menyertai ekpo, beberapa kedutaan asing turut mengambil bahagian termasuk dari Bangladesh, Somalia dan Republik Guinea, Perancis,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis perasmian.

Hadir sama Pengerusi Tetap DPIM, Datuk Romli Ishak dan Presiden DPIM Malaysia, Mohammad Shahar Mat Din.
Khairul yang juga Ketua Pengarah Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd menambah, kolabrasi dengan DPIM untuk menyokong usahawan dan perniagaan mereka penting bagi memastikan pematuhan standard yang diperlukan untuk memiliki sijil halal.
“Perolehan sijil halal membantu usahawan meningkatkan kredibiliti dan daya saing pasaran. HQC Commerce adalah syarikat pembimbing dan latihan yang berdaftar di bawah Malaysia International Halal Academy, JAKIM.
“Syarikat ini fokus dalam menyediakan khidmat bimbingan dan membantu perniagaan memperoleh pensijilan halal supaya jangkauan pasaran lebih luas dapat dicapai.
“Tumpuan kami kepada usahawan mikro dan kecil melalui sokongan yang disesuaikan dengan panduan pakar dan bertauliah,” katanya
Beliau menambah, bantuan menyeluruh meliputi latihan, bimbingan dan khidmat nasihat antara agenda syarikat untuk memastikan usahawan mikro dan kecil lebih memahami proses dan syarat yang terlibat di dalam permohonan pensijilan halal.
“Inisiatif ini penting bagi membantu usahawan mikro dan kecil lebih memahami produk atau pperkhidmatan yang berstatus halal akan membuka peluang pasaran baru sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan penasihat dalam memperoleh pensijilan halal, hubungi HQC di 016-3704869. – WILAYAHKU