SAMBUTAN Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2023 merupakan seruan kepada masyarakat untuk terus melaksanakan 3R iaitu kurangkan pembuangan sisa, guna semula dan kitar semula demi kelestarian alam sekitar.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata amalan 3R perlu dititikberatkan oleh setiap lapisan masyarakat kerana menguruskan sisa pepejal bukanlah tugas agensi kerajaan semata-mata, tetapi ia merupakan kewajipan rakyat supaya bumi terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Katanya merujuk kepada data janaan sisa di negara ini, sebanyak 38,259 tan sampah dibuang ke tapak pelupusan setiap hari dan dianggarkan 44.5 peratus daripadanya adalah sisa makanan, plastik (13.2 peratus), kertas (8.5 peratus), besi (2.7 peratus), kaca (3.3 peratus) manakala 2.78 peratus lagi merupakan bahan-bahan lain.
“Kita bercakap tentang kelangsungan hidup, bukan setakat kesedaran, untuk menjadikan kitar semula sebagai cara hidup bukan sahaja memerlukan kesedaran, tetapi juga komitmen. Anda tahu mengenai (kitar semula) tetapi anda tidak lakukannya, ia adalah lebih baik anda tidak mengetahuinya, seseorang harus sedar betapa pentingnya ia dan maksudkan apa yang anda katakan dengan lakukannya sendiri,” katanya.
Nga berkata demikian kepada Bernama sempena HKSK 2023 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman di sini, baru-baru ini.
Hari Kitar Semula disambut pada setiap 18 Mac sejak 2018 dan di Malaysia, 11 November dipilih sebagai tarikh rasmi sambutan HKSK bertujuan menyeru masyarakat untuk sama-sama melaksanakan amalan 3R serta memelihara alam sekitar sebagai budaya sepanjang hayat.
Mengenai HKSK 2023, Nga berkata sambutan bertujuan memastikan satu daripada komponen Malaysia MADANI iaitu kemampanan dipenuhi dan ia merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi SWCorp sebagai antara usaha mencapai kadar kitar semula dalam negara sebanyak 40 peratus menjelang 2025.
Katanya kemuncak HKSK 2023 diadakan hari ini menerusi Malam Apresiasi MADANI Cintai Bumi di Dewan De’ Seri Endon Puspanita, Putrajaya bagi menghargai semua pihak yang bergiat aktif dalam mengusahakan program dan aktiviti penjagaan kebersihan dan amalan 3R.
Katanya antara pengisian pada majlis malam ini termasuk pengumuman kadar kitar semula dalam negara bagi 2023, penyampaian anugerah khas serta penghargaan dan persembahan muzik oleh Reuz Band yang menggunakan peralatan daripada barang kitar semula.
Mengenai inisiatif SWCorp dalam memperkasa budaya 3R dan penjagaan kitar semula, Nga berkata antara yang dilaksanakan termasuk memperkenalkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) dan kini telah ada 65 DTRC di negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Kemudahan DTRC yang berkonsep mesra pengguna ini dapat memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula yang telah diasingkan seterusnya menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula dan menjadikannya cara hidup,” katanya.
Nga berkata DTRC juga menepati konsep Waste to Gold yang membolehkan komuniti menjana pendapatan sampingan daripada aktiviti kitar semula selain menyokong transformasi ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber baharu dalam menghasilkan produk.
Katanya antara inisiatif lain adalah program Trash to Cash bertujuan menyemarakkan aktiviti kitar semula dan menyelamatkan sisa yang boleh dikitar semula daripada terus dibuang ke tapak pelupusan di samping memberi pulangan atau pendapatan tambahan kepada individu atau komuniti yang melaksanakannya.
Sehingga September 2023, jumlah barangan kitar semula yang berjaya dikumpul dan dijual adalah sebanyak 12,730 tan bernilai RM5,412,076.93, katanya.
Selain itu, SWCorp juga mengadakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran, Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS), Pertandingan Reka Bentuk From Waste To Wealth Innovation (WAWI), Komuniti Sifar Sisa, World Cleanup Day, Sukarelawan Hero Kebersihan serta Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal Di Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (STAR-CII).
Katanya program dan inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan memberi tumpuan untuk mengubah stigma masyarakat bahawa sampah itu berharga kerana ia bukan sahaja boleh mengelakkan pembaziran sumber alam semula jadi, malah ia juga boleh menjadi sumber pendapatan.
“Kerajaan amat berharap semua pihak terutama masyarakat dapat menyokong dan melibatkan diri dalam program serta inisiatif yang dilaksanakan agar usaha kita semua untuk menjaga kelestarian muka bumi ini akan terhasil demi generasi anak cucu kita kelak,” kata Nga. – BERNAMA