Berita

HKM 2024 terima penyertaan tertinggi dalam sejarah

- Diterbit 26 Februari 2025 6:15 PM MYT

MALAYSIAN Press Institute (MPI) menerima sebanyak 545 penyertaan daripada 58 pertubuhan media bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2024 (HKM 2024).

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail berkata, HKM 2024 mencatatkan kenaikan 12 peratus (%) penyertaan iaitu 545 penyertaan berbanding 488 yang diterima tahun sebelumnya.

“Kategori Kewartawanan Foto Terbaik mencatat 80 penyertaan, meningkat 82% berbanding tahun lalu, sekali gus menunjukkan penyertaan tertinggi. Ini diikuti oleh kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan dan kategori Bicarawara Video Terbaik, 46 penyertaan.

“Jumlah ini menunjukkan penyertaan tertinggi diterima oleh MPI. Peningkatan penyertaan ini membuktikan daya saing dan komitmen tinggi pengamal media dalam menghasilkan karya berkualiti.

“Ia juga didorong oleh promosi agresif MPI termasuk mengadakan kunjungan hormat ke organisasi media dan sesi taklimat HKM yang pertama kali diadakan bagi membantu memberi pencerahan kepada warga pengamal media berkenaan HKM.

“MPI juga berbangga menerima penyertaan daripada organisasi media baharu yang menyertai HKM buat pertama kalinya. Maka, matlamat MPI untuk menarik penyertaan dari semua platform media berjaya,” jelas Ainol dalam kenyataan.

Tambahnya, pencalonan bagi Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media dan Anugerah Khas akan mula dibuka pada awal Mac 2025.

“Sekretariat akan mula menghantar surat kepada pertubuhan media, persatuan atau kelab wartawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sivil yang berkaitan media, serta institusi pengajian tinggi bagi mendapatkan pencalonan penyertaan. Tarikh akhir pencalonan tiga kategori ini adalah pada 9 Mei 2025,” ujarnya.

Katanya, majlis penyampaian anugerah akan dilangsungkan pada Malam Wartawan Malaysia iaitu 20 Jun 2025 di Kuala Lumpur dimana pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM450,000 tajaan PETRONAS.

Sebagai rekod, HKM mula diperkenalkan pada 1980 bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan pada tahun dipertandingkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas