Berita

Hishammuddin sertai Pemukiman secara maya sesi AMM esok – Wisma Putra

- Diterbit 20 Januari 2021 2:05 AM MYT

MENTERI Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyertai sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) menerusi sidang video, esok (21 Jan).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara isu yang akan dibincangkan oleh menteri luar itu, adalah isu semasa mengenai pelaksanaan keputusan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang dipengerusikan Vietnam pada 2020 serta inisiatif untuk mengerakkan agenda dan keutamaan sempena Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN, pada tahun ini.

“Para menteri juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama serta usaha untuk meningkatkan hubungan kerjasama ASEAN dengan rakan luarnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Negara Brunei Darussalam dilantik mempengerusikan ASEAN tahun ini dengan tema “We Care, We Prepare, We Prosper” (Kami Peduli, Kami Bersedia, Kami Sejahtera) “.

Mesyuarat AMM itu merupakan pertemuan pertama yang dijadualkan bagi negara-negara anggota ASEAN, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar II Brunei Datuk Seri Setia Erywan Pehin Yusof dengan penyertaan Menteri Luar ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN.

Pemukiman itu didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) semalam (19 Jan), menurut kenyataan itu.

“Malaysia menyokong penuh dan komited untuk membuat kemajuan substantif di bawah kepimpinan Negara Brunei Darussalam pada 2021,” menurut Wisma Putra. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas