Fokus

Himpun acuan tradisional warisan nenek moyang

- Diterbit 10 November 2023 1:30 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM
Foto oleh AMINULLAH FARIJ

PENGLIBATAN pelbagai kaum dalam penghasilan produk kraf mampu mewujudkan perpaduan melalui penciptaan dan perkongsian karya yang menonjolkan identiti setiap etnik masyarakat di Malaysia.

Untuk itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengambil inisiatif berkongsi idea dalam pembangunan produk kraf baharu serta memberi pengetahuan kepada masyarakat menerusi Program PASAREKA 2023.

Menghimpunkan aktiviti seni kreatif dan reka bentuk yang merangkumi aktiviti pembangunan produk, perkongsian kreatif, pameran dan jualan kraf, PASAREKA dilihat sebagai pemangkin dalam membudayakan nilai reka bentuk produk yang kreatif dan inovatif ke arah pemantapan industri kraf negara.

KHAIRUL HAFIZI

Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Kraftangan Malaysia, Khairul Hafizi Naharuddin berkata PASAREKA 2023 merupakan penganjuran kali keenam sejak mula dilaksanakan pada tahun 2017 bertemakan Ini Kraf Malaysia.

“Pada tahun ini pelbagai aktiviti menarik disajikan seperti pameran, perkongsian idea kreatif seperti Projek Sembang Reka, Projek Bentuk-Bentuk, Projek Reka Kraf, Projek Pereka Cipta termasuk Projek Camca dan Jualan kraf.

“Uniknya kali ini menampilkan Projek Camca iaitu demonstrasi masakan yang mengetengahkan penggunaan produk kraf dalam penghasilan makanan seperti kuih lompang, kuih bakar, onde-onde, semperit, kuih cara, roti jala dan kuah kari, agar-agar dan cendol,” katanya.

Khairul Hafizi berkata projek camca lebih istimewa kerana masakan tersebut menggunakan pelbagai jenis produk kraf seperti tembaga, seramik dan rotan serta ia dihasilkan sendiri oleh pereka-pereka produk kraf berkenaan.

“Antara koleksi produk seramik yang boleh dilihat pengunjung adalah mangkuk adunan seramik, acuan tembaga, penapis rotan, tempurung dan sebagainya.

“Pengunjung bukan sahaja dapat lihat cara masakan menggunakan produk barangan kraf tersebut malah ia juga secara tidak langsung dapat mempromosikan kembali produk yang suatu ketika dahulu pernah digunakan oleh nenek moyang kita,” katanya ketika ditemui Wilayahku di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khairul Hafizi berharap program seumpama ini dapat membantu melonjakkan lagi industri kraf tempatan selain turut menyeru orang ramai agar terus memberi sokongan terhadap apa jua program yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.

“Kita juga tampilkan 15 usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan Alumni Institut Kraf Negara (IKN) yang telah berjaya menjadi usahawan kraf di mana ia terdiri daripada lima bidang kraf iaitu hasil rimba, tekstil, tanah, logam dan aneka kraf.

“PASAREKA juga memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dan melihat pameran produk kraf daripada tiga orang Tokoh Kraf Negara dan lapan orang Adiguru Kraf antaranya Habibah Zikri (Tokoh Kraf Songket), Norhaiza Noordin (Tokoh Kraf Ukiran kayu), Kelsom Abdullah (Tokoh Kraf Anyaman Pandan/Mengkuang) dan ramai lagi,” katanya.

PAMERAN seni kraf logam antara keunikan yang ditampilkan oleh pelajar IKN.

Tambah Khairul Hafizi, ia juga menampilkan pameran produk-produk daripada pelajar IKN, Alumni dan Tenaga Pengajar IKN, Designer Highlight, Korporat IKTPD, dan Korporat IKN.

“Pameran produk koleksi pelajar IKN dan Produk Alumni dan Tenaga Pengajar IKN menampilkan produk terbaik daripada pelajar dari tahun 2021 hingga 2022 menerusi enam jenis jurusan iaitu seni kraf kayu, batik, tenun, seramik, logam dan rotan.

“Designer Highlight adalah pameran yang menampilkan koleksi produk Pereka (Alumni IKN) yang sedang berkhidmat di Kraftangan seluruh Malaysia manakala Pameran Korporat IKTPD dan Korporat IKN pula mengetengahkan komponen pengajian, keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di kedua-dua institut tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas