Berita

Hilang murung bila bantu mangsa banjir – Keith Foo

Natasha sebagai wajah untuk produk Crystal C White
- Diterbit 9 Januari 2021 5:09 AM MYT

MEMBANTU mangsa banjir adalah satu kepuasan buat aktor popular, Keith Foo yang menyertai misi kemanusiaan dan amal di Negeri Sembilan bersama St John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS), baru-baru ini.

Pelakon drama bersiri Ariana Rose ini rasa berbesar hati apabila dapat menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Ketika saya sampai tengok keadaan sekeliling mereka yang huru hara, saya rasa sebak. 

“Ada seorang makcik pesakit kanser yang tinggal seorang diri dan rumahnya betul-betul tepi sungai. Air banjir naik ke rumahnya dan dia sukar bergerak kerana badan besar.

“Bayangkan, dia terpaksa panjat pagar dan bertahan selama berjam-jam untuk tunggu penyelamat sampai,” cerita Keith Foo yang seronok berkongsi pengalamannya membantu mangsa banjir.

“Ada lagi satu kisah, seorang pakcik tua yang juga pesakit dialisis, air banjir naik ketika dia sedang tidur. Nasib baik katil itu terapung, kalau tidak dia boleh lemas,” ujarnya lagi.

KEITH sebagai duta, Natasha sebagai wajah untuk produk Crystal C White

Menurut Keith Foo, kerja-kerja amal ini secara tidak langsung membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Keadaan itu sebenarnya memberi semangat kepada saya untuk terus membantu orang lain. Ini juga cara saya berbakti kepada masyarakat 

“Saya rasa puas dan seronok. Tak pernah rasa penat. Keseronokan yang dirasai ini sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang tetap meluangkan masa melakukan kerja amal meskipun sibuk dengan kerjaya lakonan.

Setelah berpisah dengan isterinya Kim Raymond tahun lalu, Keith akui kerja amal ini banyak mengisi masa sunyinya.

“Kalau saya duduk rumah yang boleh menyebabkan murung, ia akan menyebabkan saya menjadi seorang yang negatif.

“Jadi saya perlu ubah gaya hidup saya. Kerja amal ini sebenarnya banyak membantu saya untuk bangkit semula setelah apa yang terjadi (perceraian) sebelum ini.

“Sekarang saya jadi lebih positif. Saya selalu fikir, kalau saya murung, macam mana dengan anak. Anak tetap perlukan seorang bapa walaupun saya sudah berpisah dengan isteri,” katanya yang lebih mengutamakan perasaan anaknya Skylar Raymond Foo yang kini berusia tiga tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas