Berita

Hijrah Warrior semangat jadi usahawan tani berjaya

||
- Diterbit 19 April 2021 1:10 PM MYT

SERAMAI 64 orang ‘Hijrah Warrior’ menerima sumbangan berbentuk tunai yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa pada Program Prihatin Ramadan petang tadi.

Menurut Annuar, program tersebut adalah untuk mentransformasikan golongan gelandangan ini keluar dari kepompong gelandangan dan menjadi usahawan tani yang berjaya.

Ujar beliau inisiatif yang dilakukan KWP adalah untuk memberi pekerjaan dan menjana pendapatan sendiri di samping penempatan selesa kepada golongan gelandangan.

“Seramai 64 orang gelandangan ditempatkan secara sementara di Pusat Transformasi (Anjung Kelana) terlibat secara langsung dalam projek tersebut.

“Ianya dijalankan di kebun yang berkeluasan 82,000 kaki persegi di bekas tapak Desa Water Park, ” tambah Annuar.

Annuar turut berkata antara tanaman kontan yang diusahakan adalah seperti kangkung dan keledek yang mudah ditanam dan tempoh tuaian yang singkat dan hasilnya akan dijual di koperasi sekitar Kuala Lumpur.

“Tanaman ini akan dijual di koperasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur dengan hasil pendapatannya akan diberikan kepada mereka yang mengusahakan termasuk Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf, Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE).

“DBKL juga sedang mewujudkan aktiviti jualan di Pusat Transformasi Anjung Kelana bagi memasarkan hasil tani gelandangan yang telah memanfaatkan tanah lapang di sekitar pusat transit tersebut dan kawasan sekitar bawah laluan tiang pencawang elektrik berdekatan,” tambahnya.

‘Hijrah Warrior’ merupakan program KWP bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membangunkan ladang berkonsepkan urban farming (pertanian bandar) bagi meningkatkan taraf hidup gelandangan di bandar menerusi Program Bantu Gelandangan 2.0. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas