Berita

Hati-hati amalan ‘sharenting’

- Diterbit 22 Disember 2024 10:54 AM MYT

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyokong kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menekankan risiko isu ‘sharenting’ yang semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Content Forum, Rafiq Razali berkata, tindakan bapa tanpa sedar mendedahkan anak-anak kepada bahaya dalam talian dengan berkongsi maklumat dan kandungan peribadi membawa kesan buruk.

“Walaupun berkongsi detik-detik bermakna dan membanggakan itu perkara biasa, jika dilakukan tanpa pertimbangan yang wajar, ia boleh membawa akibat yang tidak diingini seperti penderaan emosi, eksploitasi dalam talian, dan kerosakan reputasi jangka panjang.

“Kanak-kanak yang detik-detik peribadi mereka dikongsi tanpa kebenaran mungkin berdepan risiko buli, rasa malu, dan tekanan emosi apabila dewasa kelak,” ujar beliau dalam kenyataan.

Tambahnya jejak digital yang dicipta tanpa persetujuan mereka boleh mempengaruhi peluang masa depan seperti pendidikan dan pekerjaan.

“Seruan Menteri Komunikasi untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa amat bertepatan, kerana ia menekankan keperluan untuk lebih berhati-hati dan bijak dalam mengurus kehadiran anak-anak di dunia digital.

“Risiko ini bukan sekadar teori, kes jenayah dalam talian melibatkan kanak-kanak seperti kecurian identiti dan online grooming terus meningkat di seluruh dunia,” katanya.

Tambahnya amalan ‘sharenting’ turut mencetuskan kebimbangan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, yang mengutamakan perlindungan privasi, keselamatan, dan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ibu bapa dan penjaga mempunyai tanggungjawab asas untuk memastikan hak anak-anak mereka, termasuk hak terhadap maruah dan keselamatan, tidak terjejas melalui aktiviti dalam talian.

“Kita sering mengajar anak-anak supaya berhati-hati dalam talian, tetapi ibu bapa tanpa sedar boleh melemahkan pengajaran tersebut. Kita mesti berhenti dan berfikir sebelum menekan butang post, kerana Internet tidak pernah lupa.

“Di Malaysia, walaupun undang-undang khusus mengenai ‘sharenting’ masih belum diperkenalkan, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia menekankan kepentingan melindungi maruah, privasi, dan kesejahteraan emosi kanak-kanak,” ujarnya.

CMCF menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik, dan pembuat dasar, untuk bekerjasama menangani cabaran ‘sharenting’ dan membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Setiap perkongsian membentuk legasi digital kanak-kanak, kita harus pastikan ia melindungi dan memartabatkan, bukan mengeksploitasi,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas