Berita

Hasrat Malaysia mahu Palestin jadi anggota penuh PBB telah disampaikan – PM

- Diterbit 24 Januari 2024 8:40 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesyukuran apabila Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan sendiri hasrat dan gesaan rakyat negara ini agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disamping gencatan senjata kepada Setiausaha Agung pertubuhan itu, Antinio Guterres semalam.

Menerui laman Facebook beliau, Perdana Menteri berkata gesaan Malaysia ini seiring dengan kenyataan Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.

“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.

“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar apartheid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan,” katanya hari ini.

Tambah Anwar, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini dan ia pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip supaya Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis sebagai Ibu Kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas