Selebriti

Hasrat gabung pemuzik tiga negara tidak kesampaian… Osem Han teruskan Supernova secara solo

- Diterbit 16 Februari 2024 2:26 PM MYT

BIARPUN  impian menggabungkan pemuzik tiga negara membentuk kumpulan tidak kesampaian, Osem Han nekad meneruskan single Supernova secara solo.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura ini,  dia sepatutnya menjayakan single Supernova secara berkumpulan membabitkan dua pemuzik popular dari Malaysia dan Indonesia.

Akhirnya impian itu terkubur begitu sahaja kerana kegagalan memenuhi komitmen. Namun, ia tidak pernah mematahkan semangat Osem Han.

“Ketika mencipta Supernova, saya membayangkan lagu ini dipersembahkan secara berkumpulan dan ahli kumpulan saya ketika itu juga bukan calang-calang orangnya.

“Siap dah bikin muzik video bersama lagi, tetapi nak buat macam mana kan, kerana komitmen masing-masing sehingga sukar menguruskan jadual untuk disatukan bersama, kami mengambil langkah untuk tidak meneruskan hasrat tampil berkumpulan.

“Muzik Video yang sudahpun siap untuk ditayangkan juga terpaksa disunting semula agar ia bersesuaian dengan konsep persembahan solo,” katanya.

Osem berkata, dia lebih berani dan nekad untuk muncul dengan lagu Supernova selepas kejayaan single lagu pertama, Pilihanku.

Supernova diciptakan oleh Osem bersama temannya yang juga seorang gitaris, Alif Putra mengisahkan tentang semangat perjuangan diri untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan.

SELEPAS kejayaan lagu Pilihanku, Osem Han muncul dengan single Supernova yang mengisahkan tentang semangat perjuangan diri untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan.

Menurut Osem, Supernova begitu istimewa buat dirinya kerana ia sebuah nasihat dan motivasi yang berguna buat semua lapisan masyarakat.

“Seperti makna Supernova iaitu api yang paling panas dan cahaya yang paling terang, api itu adalah semangat dan cahaya itu harapan. Dan ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat. Kerana itu juga terdapat kanak-kanak dalam babak muzik video Supernova.

“Selain motivasi pemberi semangat, sisi lain lagu ini juga ada unsur-unsur persahabatan dan realiti kehidupan masa kini,” ujarnya yang mendapat kerjasama dengan Amylea Azizan sebagai pengarah muzik video lagu Supernova.

Tahun lalu, selepas 30 tahun terbabit dalam dunia seni muzik, Osem memberanikan diri tampil dengan single pertamanya berjudul Pilihanku.

Pilihanku berjaya menembusi carta Radio Ria Singapura menduduki tangga  kesembilan. Malah Pilihanku masih lagi diputarkan di radio-radio Singapura sehingga kini.

“Sejujurnya saya sendiri tidak sangka single pertama saya mendapat sambutan yang sangat baik di Singapura tanpa sebarang promosi.

“Dan pada mulanya saya tidak yakin ia mampu menjadi hits dan sambutan yang menggalakkan itu buatkan saya lebih yakin untuk meneruskan ciptaan single lagu kedua pula iaitu Supernova,” ujarnya.

Sementara itu, Supernova sudah boleh dimuat turun di semua pelantar digital termasuklah di youtube Seventeen Eleven yang kini berjaya meraih kira-kira hampir 60,000 tontonan sejak dilancarkan 19 Januari lalu. -WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas