PESERTA Raise The Star Malaysia, Hariz Fayahet akui tidak melupakan pesanan penyanyi Allahyarham Siti Sarah terutama ketika berdepan tekanan hidup.
Hariz atau nama sebenarnya Fadhli Hari Fayahet, 32, yang juga Juara Bintang RTM 2018, mula mengenali arwah apabila menyertai kelab peminat Hearty Sarah.
Menurut Hariz segala pesanan arwah menjadi penguat semangat untuk dirinya terutamanya apabila stres.
“Saya seorang yang overthinker. Apabila ada orang komen di media sosial, saya mudah untuk overthink atau terlampau memikirkan sesuatu yang kadang-kadang membuatkan diri sendiri stres.
“Apabila overthink, saya akan jadi berdebar-debar atau cemas setiap kali nak naik pentas. Kalau nak tahu, overthink dan gemuruh itu adalah ‘musuh’ terbesar dalam diri saya sebagai penyanyi.
“Antara pesanan arwah yang masih saya ingat, dia kata jangan terlalu fikir apa orang komen atau cakap. Buat sahaja apa yang kita minat dan lakukan sehabis baik apabila berada di pentas,” katanya.
Malah jelas Hariz arwah juga berpesan supaya menghiraukan apa yang orang anggap atau fikir tentang kita dan teruskan buat persembahan.
“Arwah ada pesan lagi, jangan terlalu memikirkan apa yang di luar kawalan dan anggaplah menyanyi untuk diri sendiri apabila berada di pentas,” katanya.
Hariz yang mempersembahkan lagu Ku Teruskan nyanyian asal Siti Sarah dalam konsert minggu kedua program Raise The Star Malaysia akui sempat menatap foto-foto arwah sebelum persembahan.
“Saya pilih lagu Ku Teruskan kerana sesuai dengan tema minggu lepas Who Am I. Saya rasa lagu Ku Teruskan itu boleh melambangkan apa hala tuju muzik saya.
“Muzik dan konsep lagu yang saya mahukan adalah seperti lagu ini. Jika ada peluang bekerjasama dengan mana-mana komposer, lagu yang macam ini saya mahukan.
“Siapa yang ikut perkembangan saya, mereka tahu saya pernah bawa lagu Ku Teruskan di Konsert RTM dan untuk laman YouTube.
“Alhamdulillah, rasa overthink dan rasa gemuruh agak terkawal ketika menyanyikan lagu Ku Teruskan. Memang sebelum naik pentas, saya tengok balik gambar-gambar arwah yang memberikan saya semangat,” katanya.
Sementara itu, Hariz yang diberi julukan Harry Potter oleh juri program, Ajai, menganggap ia satu perkembangan positif buat dirinya.
“Sebenarnya dari saya umur enam tahun ada orang gelarkan saya Harry Potter. Mungkin disebabkan cermin mata saya seperti watak Harry Potter dalam filem itu,” katanya. – WILAYAHKU