YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa kepada gelaran Datuk Seri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Dua tokoh itu merupakan antara 32 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun
2025 yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Pada istiadat pengurniaan pengurniaan kali ini, dua orang dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri, sembilan individu pula dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu
Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk. Sementara enam individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), lima individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.), empat individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan enam (6) individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.).
Antara penerima Johan Mahkota Wilayah dalam kalangan pegawai awam dan badan berkanun terdiri dari Perbadanan Putrajaya, LAr Haslind Khalid; Arkib Negara, Mokhtaruddin Lamsin; Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammed Hassan; Planetarium Negara, Shahruddin Yusof dan Kementerian Kesihatan, Suzana Alias.
Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang menerima gelaran Datuk adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Sementara itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam kenyataan turut mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa
dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2025. – WILAYAHKU