Berita

Hari Wanita: Hargai, hormati, santuni dengan penuh kasih sayang – Raja Permaisuri Agong

KREDIT foto: Facebook Agong.
- Diterbit 8 Mac 2024 11:40 AM MYT

RAJA Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini bertitah menyeru rakyat supaya menghargai wanita, menghormati dan menyantuni mereka dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.

Menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Raja Zarith Sofiah bertitah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2024 kepada semua wanita di Malaysia.

“Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menyeru rakyat menghargai wanita dan hormati serta santunilah mereka dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang kerana mereka juga berperanan dalam membantu kepada pembangunan negara,” menurut hantaran di laman Facebook itu, hari ini.

Dengan tema sambutan tahun ini ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan penghargaan kepada semua wanita yang menggalas pelbagai tanggungjawab sama ada sebagai isteri, ibu serta pelbagai bidang pekerjaan yang diceburi.

Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang serta memperjuangkan hak golongan berkenaan. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas