Berita

Hari Kebangsaan ke-67: Fahmi rakam penghargaan kepada semua pihak terlibat

- Diterbit 1 September 2024 12:58 PM MYT

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 itu, sambutan Hari Kebangsaan semalam mengambarkan semangat jiwa merdeka rakyat Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada lebih 100,000 orang yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan semalam.

“Terima kasih juga kepada semua yang menonton secara langsung di rumah,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan
perbarisan dan perarakan dijayakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata sebagai simbolik sambutan ke-67, menyaksikan 67 buah kenderaan yang terlibat dalam Kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

“Paling membanggakan, kecekapan dan kehebatan Teres Grafik Manusia yang dianggotai oleh 2,000 pelajar sekolah menengah daripada 50 sekolah di Selangor.

“Turut mencuri tumpuan adalah Pancaragam Formasi terdiri daripada 300 pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur, persembahan Tempur Tanpa Senjata oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka Cuci Rasuah oleh gabungan artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan seni budaya,” katanya.

Fahmi turut menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah kerana berkenan berangkat dan bersama-sama rakyat meraikan hari kemerdekaan negara.

“Semoga perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia kekal utuh dan terus diperkukuh demi kesejahteraan tanah air tercinta,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas