Berita

Hari Kanak-Kanak 2023 rai bakat, keistimewaan generasi pelapis negara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 19 November 2023 4:00 AM MYT

SETIAP kanak-kanak mempunyai bakat serta keistimewaan tersendiri, malah kelebihan berbeza-beza yang ada pada setiap insan perlu digilap dan dicorakkan pada usia muda bagi membentuk jati diri insaniah apabila meningkat dewasa.

Bagi meraikan keunikan dan menyuburkan kepelbagaian bakat dalam kalangan golongan berkenaan, sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan (HKK) 2023 yang bertemakan “Hak Kami, Masa Depan Kami” akan memfokuskan kepada perkembangan bakat dalam kalangan generasi pelapis negara.

HKK 2023 peringkat kebangsaan akan disambut esok (20 Nov) di Holiday Villa Johor Bahru City Centre, Johor dengan perasmian oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dr Sopian Brahim berkata kanak-kanak adalah aset negara yang amat berharga dalam menentukan hala tuju dan masa depan Malaysia, sehubungan itu peranan mereka hendaklah dibentuk ketika usia muda.

“Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan, bakat, kemahiran, kecerdasan, perkembangan dan pertumbuhan yang pelbagai dan berbeza. Mereka ibarat permata yang perlu digilap dan merupakan aset penting dalam mencorakkan masa depan negara,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kanak-kanak perlu diraikan dan dicorakkan dengan sebaik-baiknya supaya mereka menjadi golongan dewasa yang mampu menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang.

Mengulas mengenai sambutan itu, Sopian berkata bertepatan dengan tema, ia menjadi manifestasi untuk memperaku, mempromosi dan meraikan hak kanak-kanak yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan dan akhirnya menjadi paksi untuk kehidupan kanak-kanak yang lebih sejahtera.

Tema itu katanya, menekankan kepentingan menyediakan kanak-kanak dengan alat dan sumber yang diperlukan untuk mencapai potensi diri bagi membolehkan mereka menjadi anggota masyarakat yang produktif dan bertanggungjawab.

“Ia juga menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk kanak-kanak membesar dan berkembang. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dilayan dengan maruah, hormat dan kasih sayang,” katanya.

Menurut Sopian sambutan HKK juga bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak dengan meraikan hak mereka selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Beliau berkata keperluan utama dan penting bagi kanak-kanak adalah melindungi mereka daripada semua bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta memberi bimbingan bagi mengekang salah laku serta perbuatan jenayah seiring dengan Hak Kanak-Kanak di bawah CRC.

“Objektif sambutan tahun ini adalah untuk menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti sihat dan bermanfaat serta memainkan peranan dalam membantu kerajaan menangani isu-isu semasa negara.

“Selain itu, memberi rangsangan kepada kanak-kanak untuk memperkasakan modal insan yang mampan dalam kapasiti menyeluruh dan memperkaya bakat, idea dan memperkukuh nilai jati diri mereka,” katanya.

Sambutan HKK 2023 juga bakal menyaksikan penyampaian anugerah kepada kanak-kanak yang menunjukkan keistimewaan atau pencapaian luar biasa dalam kalangan masyarakat menerusi Anugerah Pingat Hang Tuah, Anugerah Kanak-kanak Gemilang (Sukan), Anugerah Kanak-kanak Gemilang (Orang Kurang Upaya) dan Anugerah Kanak-kanak Gemilang (Kebudayaan dan Kesenian).

Selain itu, pelbagai acara dan aktiviti bakal dianjurkan pada hari sambutan itu antaranya persembahan, aktiviti kanak-kanak, taklimat, penyampaian anugerah dan perasmian.

“Aktiviti interaktif kanak-kanak berkonsepkan cita-cita dipilih sebagai medium untuk mengekspresikan setiap harapan mereka dan pada masa sama, memberi kesedaran kepada masyarakat dan negara untuk menyediakan sokongan dan sumber berkaitan ke arah merealisasikan harapan kanak-kanak,” katanya.

Sambutan Hari Kanak-Kanak dianjurkan pertama kali oleh International Union For Child Welfare pada 1953 dan diiktiraf Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 1954, manakala di Malaysia sambutan Hari Kanak-Kanak diraikan pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober setiap tahun. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas