Berita

Hargai seni pentas

SEKITAR persembahan teater muzikal yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2024 4:30 PM MYT

AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kekal teguh dengan misinya untuk memelihara dan mempromosikan seni, budaya dan warisan Malaysia.

Justeru sebagai sebahagian daripada Sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun Aswara Ke-30, ASWARA mempersembahkan kebangkitan semula Sakti Merong Mahawangsa, sebuah epik legenda yang menjanjikan sejarah baharu dalam dunia seni teater Malaysia.

ASWARA dalam satu kenyataan berkata, persembahan teater muzikal itu bertujuan untuk mengangkat nilai seni dan warisan negara kepada masyarakat kini.

“Sakti Merong Mahawangsa menghidupkan kisah Raja Merong Mahawangsa, seorang tokoh yang dikenang kerana keberanian, ketabahan dan kesetiaannya dalam menubuhkan Kedah Zamin Turan, kini dikenali sebagai Kedah.

“Pementasan ini mengisahkan misi Merong untuk menyatukan Putera Rom dan Puteri China menentang kehendak Sang Geroda yang gagah perkasa, diakhiri dengan pertempuran epik keberanian dan kuasa sakti. Kisah ini ditutup dengan keamanan yang dipulihkan dan kelahiran Kedah sebagai tanah makmur dan bersatu,” katanya.

Tambahnya hikayat epik ini menampilkan barisan tenaga alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA.

“Menerusi teater ini, kita menampilkan lebih 100 bakat termasuk nama-nama terkenal seperti Najua P. Ramlee, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Aris Kadir, Fiza Thomas, Ezdianie Hayatie, Saiful Wazien, Amirul Hakim dan Reza Mohamed.

“Kami percaya bahawa Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa wajar diketengahkan kerana ia bukan sahaja memaparkan bakat seni tempatan tetapi juga menyatukan masyarakat untuk menghargai seni pentas,” ujarnya.

Terdahulu, Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa telah diadakan bertempat di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), 8.30 malam pada 22 November lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas