Berita

Harga telur gred A, B, C turun 3 sen mulai hari ini

- Diterbit 17 Jun 2024 10:24 AM MYT

SELARAS usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat, Kerajaan memutuskan supaya harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuatkuasa mulai Isnin, 17 Jun 2024.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

“Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani Kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan.

“Kerajaan berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas