KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menganjurkan program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah bermula Khamis ini sebagai usaha untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan susulan kenaikan harga barang ketika ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pada peringkat permulaan, Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah ini memfokuskan kepada jualan barangan sumber protein utama bersubsidi iaitu ayam dan telur ayam agar rakyat dapat berbelanja pada harga yang lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
“Setiap isi rumah akan dapat menikmati pembelian seekor ayam dengan kadar subsidi sebanyak RM3 seekor serta dapat berjimat sebanyak RM0.50 sen apabila membeli 10 biji telur ayam Gred B.
“Melalui program ini, setiap isi rumah dapat menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur sehingga 14.29 peratus bagi setiap pembelian satu ekor ayam dan 10 biji telur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Shahidan, program yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ini akan dilaksanakan di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Di Kuala Lumpur, jualan ini masih berkonsepkan MyGrocer@Wilayah iaitu penjualan barangan keperluan asas dan barangan makanan kering secara terus daripada pembekal ke kawasan perumahan penduduk.
“Di Labuan, Program Jualan Rakyat ini akan dilaksanakan melalui peruncit yang telah dikenalpasti oleh Perbadanan Labuan (PL) agar rakyat boleh menikmati jualan barangan dengan harga yang lebih rendah dan akan dilaksanakan selama enam bulan dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.48 juta,” katanya.
Tambahnya, dianggarkan seramai 147,000 penduduk di 61 buah PPR dan PA di Kuala Lumpur serta 19,000 penduduk dari kumpulan B40 di Labuan bakal menerima manfaat menerusi Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah ini.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, Kerajaan serta KWP komited mencari pelbagai kaedah untuk meringankan beban ekonomi Keluarga Malaysia dan mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat secara umumnya dan orang ramai diseru untuk merebut peluang keemasan bermula pada 14 Julai 2022 (Khamis) jam 4.00 petang hingga 6.00 petang mengikut jadual Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah dan Kick off jualan akan bermula pada Khamis, 14 Julai di PA Sri Johor, Kuala Lumpur. –WILAYAHKU