Artikel

Harapan menanti MRT Putrajaya

WARGA kota lebih memilih perkhidmatan tren berbanding bas atau teksi kerana ia tidak terjejas dengan kesesakan lalu lintas.- Gambar hiasan
- Diterbit 19 Oktober 2023 11:00 PM MYT

Oleh ADI TUAH

SEJAK tujuh bulan lalu, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dihubungkan terus dengan ibu negara Kuala Lumpur melalui perkhidmatan Rapid Transit Massa atau Mass Rapid Transit (MRT) dengan operasi sepenuhnya laluan Kwasa Damansara—Putrajaya dan sebaliknya.

Ini susulan pengoperasian Fasa Kedua MRT tersebut pada 16 Mac 2023, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkhidmatan MRT ini merentas dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya Sentral dan sebaliknya, sepanjang 57.7 kilometer merentasi 36 stesen, termasuk sembilan stesen bawah tanah.

Sebelum itu Fasa Pertama mula beroperasi pada 16 Jun 2022, dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Laluan ini sepanjang 17.5 kilometer meliputi 12 buah stesen dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu dan sebaliknya.

Dengan kemudahan perkhidmatan ini, orang ramai yang hendak pergi ke Putrajaya dan sebaliknya mempunyai alternatif pengangkutan lain selain berkenderaan sendiri. Mereka tidak perlu berfikir mengenai kesesakan lalu lintas atau masalah parkir di Putrajaya.

Namun ketika ibu negara dan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan boleh diakses melalui MRT, yang menarik perhatian Adi ialah pembinaan rangkaian MRT di Putrajaya sendiri, yang telah dirancang sejak tahun 2004, masih terbengkalai hingga ini. Belum ada khabar berita mengenai status projek ini, sama ada bakal dihidupkan semula atau dimansuhkan terus.

Perkara ini juga menjadi tanda tanya di kalangan warga Putrajaya khususnya memandangkan asas kepada pembinaan telah dibina bertahun-tahun lalu tetapi ditinggal begitu sahaja. Sudah 19 tahun ia terbengkalai.

Yang ada hanya struktur stesen monorel di Putrajaya Sentral. Juga jambatan gantung merentasi tasik dan terowong. Struktur konkrit ini sudah menjadi seperti tugu batu ditinggal sepi, malah hanya mencacatkan pemandangan serta keindahan Putrajaya.

Kenapa pembinaan MRT Putrajaya tidak direalisasikan sedangkan warga pusat pentadbiran Persekutuan itu bagitu mengharapkan ia menjadi kenyataan? Ia mampu menjadi pengangkutan awam yang efektif untuk memberi khidmat kepada penduduk setempat dan masyarakat luar.

Dengan kehadirannya, penduduk, terutama kakitangan awam, tidak perlu lagi menggunakan kenderaan sendiri apabila pergi balik kerja dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Orang ramai yang datang ke Putrajaya dari Kuala Lumpur juga lebih mudah menyambung perjalanan ke mana-mana bahagian Putrajaya setelah sampai di Stesen Sentral.

Perlu diingat warga Putrajaya kian bertambah, begitu juga dengan jumlah kenderaan. Bukan sahaja berlaku kesesakan kerana kenderaan tempatan, tetapi juga kenderaan bertali arus yang datang dari pelbagai tempat untuk berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan atau sekadar untuk melawat pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Kerana itu pengangkutan awam seperti MRT mampu menjadi pilihan terbaik mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Contoh terbaik ialah di Kuala Lumpur yang mempunyai Sistem Aliran Transit Ringan (LRT), MRT dan monorel.

Warga kota lebih selesa menggunakan perkhidmatan tersebut, dengan meninggalkan kereta di rumah atau stesen tren, atau mengguna perkhidmatan bas perantara. Ramai lebih memilih perkhidmatan tren berbanding bas atau teksi kerana ia tidak terjejas dengan kesesakan lalu lintas. Ini kerana LRT, MRT dan monorel mempunyai laluan sendiri.

Dalam konteks inilah Adi melihat keperluan diadakan perkhidmatan MRT di Putrajaya sebagai persediaan menghadapi pertambahan penduduk dan kenderaan yang kini sebenarnya sudah makin bertambah. Sebelum situasi kesesakan bertambah serius, pembinaan projek MRT wajar diteruskan, apatah lagi struktur asas sudah ada.

Mungkinkah faktor jumlah penduduk menyebabkan MRT terbengkalai, mengambil kira pada 2004 itu jumlah penduduk masih rendah? Dengan itu dikhuatiri penduduk tidak dapat menyokong perkhidmatan MRT sepenuhnya, terutama di luar waktu puncak.

Andaian yang berbangkit ialah hanya pada waktu puncak sahaja, dan pada hari bekerja, akan ramai penumpang. Pada waktu lain dibimbangi jumlah penumpang berkurangan yang boleh memberi kesan tidak memberangsangkan kepada syarikat pengoperasi.

Namun itu kisah 19 tahun lalu. Dalam tempoh itu, penduduk Putrajaya makin bertambah. Adi difahamkan jumlahnya kini melebihi 100,000 orang. Menurut jangkaan Perbadanan Putrajaya (PPj) jumlah ini akan meningkat sehingga 350,000 dalam tempoh 25 tahun lagi.

Pada Adi usah tunggu sehingga Putrajaya sendat baharu hendak dituntaskan pembinaan MRT. Juga usah hanya ambil kira penduduk Putrajaya sahaja, tetapi juga masyarakat luar atau orang awam yang datang berurusan di pelbagai jabatan kerajaan. Juga jangan lupa pelancong yang singgah untuk menyaksikan sendiri cantik dan indahnya pusat pentadbiran negara.

Dengan senario ini dan dengan kedudukan sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, memang amat perlu dan sesuai wujud perkhidmatan tren di Putrajaya sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam.

Adi rasa inilah waktu sesuai projek MRT Putrajaya diberi perhatian semula oleh kerajaan ke arah menghidupkannya kembali, menepati keperluan semasa. Adi percaya kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi perhatian serius mengenai perkara ini.

Selain memenuhi keperluan Putrajaya mempunyai laluan tren sendiri bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengatasi kesesakan, MRT juga sebagai penyambung kepada perkhidmatan Express Link (ERL) dan MRT Putrajaya—Kwasa Damansara.

Keperluan ini dapat disaksikan ketika diadakan perayaan atau majlis tertentu di Putrajaya. Contoh terbaharu ialah ketika Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-66 di Dataran Putrajaya 31 Ogos lalu.

Orang ramai yang berpusu-pusu datang menyaksikan perbarisan dengan menaiki MRT atau ERL, menghadapi masalah untuk ke dataran dari Putrajaya Sentral dan sebaliknya. Walaupun ada bas ulang-alik, ia tidak memenuhi keperluan sepenuhnya, tambahan tersangkut pula dalam kesesakan lalu lintas.

Kerana kepayahan ini, ada yang mengambil keputusan berjalan kaki sahaja dari atau ke Putrajaya Sentral. Jika ada perkhidmatan MRT, tentu masalah ini dapat diatasi atau dikurangkan.

Namun Adi sedar, sebarang usaha menghidupkan kembali projek MRT Putrajaya bakal melibatkan kos yang tinggi. Tentu kerajaan akan mengambil kira faktor kemampuan kewangan sebelum membuat keputusan muktamad.

Kerana itu Adi terfikir, alangkah baiknya jika projek yang sudah diasaskan pada 2004 itu dilaksanakan terus pada waktu itu sehingga siap sepenuhnya. Tentu kos pembinaan pada waktu itu lebih murah dibandingkan sekarang dan Putrajaya sudah sedia ada laluan MRT yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Namun pada perkiraan Adi, apa juga sebab projek tersebut dihentikan dahulu, anggap ia perkara sudah berlalu dan tidak perlu dikenang atau diungkit. Yang penting ialah memandang ke hadapan untuk membolehkan projek disambung. Semoga MRT di Putrajaya akan segera menjadi realiti.

Adi Tuah — Memang suka naik tren

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas