Berita

“Harap penonton terima Ahmad Mutawakkil versi saya” – Shah Iskandar

SHAH Iskandar (tengah) bersama pengarah teater Amirul (kiri) dan pelakon Adam Shahz (kanan)
- Diterbit 19 September 2024 2:03 PM MYT

PELAKON Shah Iskandar mengaku berhadapan dengan satu cabaran baharu dalam kerjaya seninya apabila membawa watak utama sebagai Ahmad Mutawakkil dalam teater Cinta Ahmad Mutawakkil.

Pemilik nama penuh Shah Iskandar Mahfuz ,42, berkata, cabaran tersebut diatasinya kerana berasa bangga apabila terlibat dalam teater bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu.

“Ini adalah kali kedua saya berlakon teater. Cuma sebelum ini saya bawak watak sampingan dalam teater komedi. Berbeza kali ini saya bawa watak utama yang merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan kita dahulu.

“Selain wataknya agak berat, apa yang mencabar saya adalah skrip atau dialognya yang panjang, berjela-jela dan penggunaan Bahasa Melayu zaman 50-an.

“Dalam skrip itu pun ada fakta-fakta penting yang saya tak boleh lupa. Kiranya saya tak boleh ‘salah bual’ ketika bawakan watak itu. Kalau saya tersalah fakta, ia akan jadi merepek.

“Ia tidak mudah dan memerlukan research yang teliti memandangkan cara bercakap dahulu dan kini sangat berbeza. Saya banyak dibantu oleh pengarah dan tim teater ini, jadi mudah dan lancar sepanjang latihan berjalan.

“Selain itu, saya ni seorang yang suka buat kelakar, tapi apabila membawakan watak Ahmad Mutawakkil yang serius ni, saya kena ‘tone down’ sikit diri saya ni,” katanya yang mengakui teater dapat membantu bakar lakonannya untuk menjadi lebih baik.

SHAH Iskandar (tengah) bersama pengarah teater Amirul (kiri) dan pelakon Adam Shahz (kanan)

Shah juga akui, walaupun dia mahukan lebih lagi waktu latihan, namun semangatnya dalam menjayakan teater ini mengatasi kebimbangan itu.

“Dalam penggambaran drama TV, kalau Salah boleh betulkan dan ulang, tapi dalam teater lakonan secara langsung dan ‘angle’ lebih luas.

“Kalau ikutkan, sebenarnya latihan selama dua bulan tak cukup untuk memantapkan dialog saya. Kalau boleh saya mahukan empat bulan.

“Namun, peluang dan sokongan yang diberikan oleh pihak penerbit iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Tim yang bagus, membuatkan saya bersedia beraksi di pentas. Saya harap para penonton dapat terima Ahmad Mutawakkil versi saya nanti,” ujarnya.

Manakala menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Siti Fadilah Ramli pula, teater ini merupakan karya pertama yang akan diterbitkan oleh PPj dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai hub seni budaya terutamanya teater.

“Hasrat ini adalah selaras dengan matlamat untuk menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat yang seimbang dalam kalangan komuniti dari aspek kesihatan fizikal dan mental seperti dihasratkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

“Cadangan asal pementasan teater ini adalah hasil cetusan idea Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud yang ingin melihat Putrajaya menjadi destinasi bagi penggiat seni teater berkarya kerana kemudahan infrastruktur sedia ada di sini amat sesuai menjadi lokasi perkembangan seni dan budaya,” ujar beliau.

Secara ringkasnya, tema yang diketengahkan dalam teater ini adalah kegigihan dan keberanian seorang pemuda yang berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah airnya. Ahmad Mutawakkil berjuang untuk memberi kesedaran dan semangat kepada masyarakatnya untuk menentang penjajah serta menuntut kemerdekaan.

Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) akan berlangsung pada 19 hingga 22 September ini bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3.

Persembahan teater yang julung kalinya diadakan pada skala besar itu adalah bersempena penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2024 dan akan dipentaskan pada 20 September 2024, pada pukul 8.30 malam, 21 dan 22 September 2024 (2.30 petang) bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks PPj. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas