ISU eksploitasi kanak-kanak menggunakan Internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak serta remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.
Selain masalah ketagihan penggunaan telefon dan Internet, tindakan sesetengah ibu bapa yang membiarkan anak melayari tanpa kawalan orang dewasa mendedahkan mereka dengan kes jenayah terutama pedofilia dan seksual.
Justeru pendidikan tentang keselamatan di Internet harus diperluaskan walaupun penyampaian maklumat di platform tersebut banyak faedahnya namun ia sarat dengan risiko yang boleh menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak.
Menurut salah seorang penjawat awam, Muhammad Zaki Ehsan, 40, sebagai ibu bapa antara tindakan wajar yang boleh dilakukan adalah dengan mengatur privasi akaun secara ketat dengan memilih untuk tidak memuat naik gambar peribadi atau menggambarkan lokasi anak-anak.
“Amat penting bagi ibu bapa untuk menyedari risiko yang berkaitan dengan memuat naik gambar anak-anak di media sosial. Kita tidak tahu siapa yang melihat gambar tersebut meskipun tujuan kita adalah untuk menyimpan memori tapi ia mungkin ibarat ‘hadiah’ buat si pedofilia.
“Justeru, sebagai ibu bapa perlu cakna dan proaktif dengan persekitaran ini. Selain itu, kita sedar bahawa dunia moden kini membuatkan anak kecil juga memiliki gajet justeru bagi saya, adalah perlu untuk meletakkan parental control di peranti anak-anak, ambil tahu password mereka serta pastikan anak-anak menggunakan teknologi hanya di bawah pemantauan ibu bapa,” katanya yang juga merupakan ayah kepada dua orang anak.
Berkongsi pandangan sama, Nur Amalina Suhaimee, 30, berkata dalam soal keselamatan terutama ketika berada di luar rumah, sebagai ibu bapa dia mengambil inisiatif dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat strategik selain meletakkan penjejak (tracker) dan sentiasa berkongsi lokasi langsung dengan anak-anak.
“Pendidikan seksual pada usia muda adalah penting sama ada anak lelaki atau perempuan kerana ia membantu untuk meningkatkan pemahaman anak-anak terhadap kegiatan tidak berfaedah ini selain memupuk rasa hormat kepada diri sendiri.
“Ia juga secara tidak langsung membekalkan mereka pengetahuan untuk mengenal pasti tingkah laku yang tidak sesuai dan bagaimana cara melaporkan kepada orang dewasa yang dipercayai.
“Kebanyakan kes seksual tidak dilaporkan kerana rasa takut dan bimbang selain malu dan sebagainya. Walaupun gangguan seksual majoritinya berlaku terhadap golongan wanita namun ia boleh berlaku kepada kedua-dua jantina, jadi pendedahan harus diberikan kedua-duanya,” ujarnya.
Nur Amalina berkata perkara ini dapat dibendung sewajarnya jika mendapat kerjasama daripada seluruh pihak dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. – WILAYAHKU