Guna data Internet percuma, ikuti PDPR sebaik-baiknya – MCMC

Guna data Internet percuma, ikuti PDPR sebaik-baiknya – MCMC

PELANGGAN perkhidmatan telekomunikasi terutamanya pelajar, guru dan ibu bapa disaran menggunakan peruntukan 1GB data percuma setiap hari atau 30GB data percuma sebulan, sebaik-baiknya bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan data Internet percuma sejak April tahun lepas itu adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada, yang boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video.

Tawaran 1GB data percuma setiap hari atau 30GB sebulan itu dilanjutkan sehingga 30 April ini, juga dapat membantu menguruskan bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Data percuma itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

“MCMC sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada syarikat pemberi perkhidmatan yang prihatin untuk turut sama membantu menjayakan PdPR, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak industri telekomunikasi juga menyediakan pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bermula 6 Jan lepas hingga akhir April ini.

Memperincikan perkara itu MCMC berkata pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM ini menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

“Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti pelanggan pakej lain,” katanya.

Sementara itu, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) turut sama melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April 2021, yang turut merangkumi penuntut IPT.

“Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40,” menurut MCMC. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS