PEREKA fesyen terkenal, Ezuwan Ismail yang dikenali dengan tanda pagar, ‘tukang jahit termahir Malaysia’ tampil dengan inspirasi koleksi Cotton Candy atau gula-gula kapas pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022.
Bagi pereka fesyen yang terjun ke arena dunia nyanyian termasuk pernah menubuhkan trio E1 Band itu, tema dan konsep diketengahkan cuba menyelami warna pemanis mulut itu yang penuh kemanisan.
“Tahun ini saya tampilkan 24 koleksi. 24 koleksi perempuan dan selebihnya lelaki. Warna pastel seperti kuning lembut, biru ‘lilac’, biru lembut, merah jambu, hijau ‘tiffany’ dan peach antara asas warna pastel digunakan.
“Saya menggunakan koleksi fabrik seperti ’twill’, kain kapas, lycra dan jejaring. Malah elemen berbungkus satu badan juga diserlahkan bagi menyuntik kelainan rekaan kali ini.
“Saya percaya gula-gula kapas ini memberi nostalgia tersendiri kepada kita sedari dulu. Jadi ia lebih kepada mengimbas semula kemanisan yang kita pernah dan tengah rasai. Apatah lagi selepas diuji di era pandemik COVID-19,” kata pereka fesyen kelahiran Kelantan itu.
Ezuwan yang melakar nama termasuk menjadi kegemaran serta pilihan artis popular seperti antaranya seperti Rozita Che Wan, Allahyarham Adibah Noor, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan Aprena Manrose itu berkata harga diketengahkan juga munasabah.
“Koleksi kali ini dijual pada harga dari RM2,800 hingga RM6,000. Boleh intai Instagram (IG) @ezuwanismail untuk cuci mata dan membeli,” katanya.
Kata Ezuwan lagi, koleksi diketengahkan kali ini juga cuba menyerlahkan sisi muda.
“Tak kira, berapa usia kita sekalipun harus ada sisi muda. Kita pernah muda dan ada yang sedang menikmati kemanisan hidup remaja itu.
“Jangan ‘tua’ kan diri kita. Cuma dalam bergaya itu kena pandai sesuaikan diri dan keadaan. Jangan semberono,” kata suami kepada Zahie Omar itu.
Bapa kepada dua cahaya mata
ini mempersembahkan koleksinya di KLFW2022 pada 18 Ogos lalu bertempat di ruang legar pusat beli-belah terkenal Pavilion.
Malah, Ezuwan juga berjaya mendapatkan dua penyanyi duet Casablanca, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin sebagai penyeri pentas peragaan kali ini.
“Nampaknya percaturan membawakan dua penyanyi yang meledak saat ini amat berjaya. Mereka berjaya memegun ramai sekali gus menonton persembahan koleksi sedia pakai saya.
“Terima kasih kepada teman baik saya yang berjaya menguruskan hal mengikat dua penyanyi itu untuk membuat persembahan.
“Ada juga yang menyakat saya untuk menyanyi sama-sama dengan mereka. Tak kurang juga suruh bergandingan menghasilkan single baharu dengan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, slot peragaan koleksi Cotton Candy itu turut terjadi perkara tak terduga apabila gaun diperaga salah seorang model Ezuwan hampir terlondeh.
“Mujurlah model memakai baju. Kalau semata-mata ‘top’ skirt sahaja.. tak mampu saya bayangkan apa yang akan terjadi. Mujurlah juga model bukan Melayu.
“Kalau model Melayu.. saya tak dapat bayangkan jika ia tular dan menjadi sensasi serta kecaman netizen,” katanya yang sudah terbiasa dengan kecaman netizen. – WILAYAHKU