Artikel

Grid Tenaga ASEAN: Komitmen strategik Malaysia ubah landskap, perkukuh keselamatan tenaga

- Diterbit 19 Jun 2025 7:09 AM MYT

KETIKA Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tumpuan bukan sekadar terarah kepada isu geopolitik atau kerjasama perdagangan serantau.

Sebaliknya, salah satu agenda paling signifikan diangkat ialah pembangunan Grid Tenaga ASEAN (APG). Ia satu inisiatif strategik yang boleh mengubah landskap tenaga di rantau ini.

APG bukan sekadar jaringan kabel kuasa rentas sempadan, ia simbol integrasi serantau, daya tahan tenaga dan komitmen terhadap peralihan tenaga hijau. Malaysia, selaku peneraju ASEAN tahun ini, sudah tentu berada pada kedudukan terbaik sebagai pemangkin utama dalam memastikan projek mega ini bukan sahaja direalisasikan, malah memberi impak jangka panjang kepada kestabilan tenaga serantau dan kelestarian alam sekitar.

APG merujuk inisiatif serantau yang bertujuan mewujudkan sistem penghantaran elektrik bersepadu antara negara anggota negara ASEAN. Melalui sambungan infrastruktur tenaga merentas sempadan, negara anggota dapat berkongsi lebihan tenaga, memaksimumkan sumber boleh diperbaharui dan meningkatkan daya tahan sistem tenaga masing-masing.

Salah satu komponen utama sedang dipacu di bawah kepengerusian Malaysia ialah projek sambungan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura. Ia dijangka menjadi antara pencapaian paling signifikan ASEAN di bawah teraju Malaysia, membuktikan keupayaan negara dalam memainkan peranan strategik dalam agenda tenaga serantau.

Persoalannya, mengapa APG begitu penting untuk dijayakan? Untuk menjawab soalan, beberapa konteks semasa dan masa depan wajar dilihat. Antara paling utama sudah tentu untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

Mengambil kira keadaan dunia yang semakin tidak menentu – akibat konflik geopolitik global dan krisis perubahan iklim, sehinggalah insiden teknikal seperti kebakaran kemudahan gas di Putra Heights yang mengganggu bekalan gas ke utara Semenanjung Malaysia pada April lalu – keperluan kepada sistem tenaga yang tangkas, boleh dikongsi dan tahan lasak menjadi semakin kritikal.

FADILLAH Yusof dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi ASEAN pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga ke-43 (SOME) di Kuching.

Grid bersepadu seperti APG yang ingin dijayakan ini akan membolehkan negara dalam rantau ASEAN menyalurkan tenaga antara satu sama lain secara fleksibel dalam situasi kecemasan atau gangguan.

Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap di pentas Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (SOME) di Kuching, Sarawak kerjasama serantau penting untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan menjamin masa depan tenaga mampan di ASEAN, dengan Malaysia kekal komited meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, memperkukuh kecekapan tenaga serta meneroka penyelesaian teknologi rendah karbon secara aktif.

Fadillah turut memaklumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) APG yang dipertingkat serta pengesahan Rangka Kerja Pembangunan Kabel Kuasa Dasar Laut dijangka menjadi antara pencapaian utama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga yang akan diadakan di Kuala Lumpur Oktober depan.

MoU itu akan menjadi pemangkin utama kepada penyepaduan tenaga serantau yang lebih berkesan dan seterusnya memperkukuh pertumbuhan ekonomi ASEAN secara kolektif.

Dalam pada itu, kepentingan APG juga dilihat dalam menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui termasuk solar, hidro dan angin dengan lebih efektif. Negara yang memiliki kelebihan sumber tertentu boleh mengeksport tenaga hijau kepada jiran, seterusnya mempercepat peralihan serantau kepada ekonomi rendah karbon, selari komitmen ASEAN terhadap perubahan iklim.

Dalam konteks ekonomi pula, APG dijangka mampu menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, visi penuh APG memerlukan pelaburan mencecah AS$764 bilion (RM3.22 trilion) menjelang 2045. Ini termasuk pembinaan loji tenaga boleh diperbaharui, sambungan grid dan kemudahan sokongan.

Agensi Tenaga Antarabangsa pula mengunjurkan menjelang 2035, sektor tenaga ASEAN memerlukan sekitar AS$990 bilion (RM4.1 trilion) pelaburan. Ini membuka ruang luas kepada sektor swasta untuk terbabit dalam bentuk pembiayaan, teknologi dan inovasi, serta peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk warga serantau.

Di peringkat domestik, Malaysia menunjukkan komitmen konsisten dalam agenda tenaga mampan. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) memperincikan langkah jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui.

Malaysia juga menyasarkan untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, selain memperkenalkan pelbagai insentif dan inisiatif seperti skim solar net-metering, pembangunan loji hidro berskala kecil dan pelaburan dalam teknologi penyimpanan tenaga.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia jelas berada dalam kedudukan terbaik untuk mengangkat pencapaian domestik ini ke pentas serantau, memimpin dengan teladan dalam usaha membentuk ekosistem tenaga serantau yang inklusif dan mampan.

Bagaimanapun perlu diakui perjalanan ke arah grid kuasa bersepadu tidak terlepas daripada cabaran. Isu penyelarasan dasar tenaga antara negara, keserasian teknikal grid, serta kebimbangan mengenai keselamatan dan kedaulatan tenaga memerlukan diplomasi tenaga yang bijaksana.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu memastikan rundingan dilakukan secara telus dan adil, sambil membina keyakinan dalam kalangan rakan serantau.

Sokongan kepada pelaburan swasta, penetapan insentif fiskal serantau dan penyelarasan peraturan rentas sempadan harus diberikan perhatian serius dalam setiap sidang dan mesyuarat berkaitan.

Sebagai negara yang kaya pengalaman dalam pengurusan tenaga dan diplomasi serantau, Malaysia harus menjadikan kepengerusiannya tahun ini sebagai pentas untuk mencorak arah masa depan ASEAN – sebuah rantau yang cerah bukan hanya dari segi kuasa elektrik, tetapi juga dari segi kesatuan dan visi bersama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas