Berita

Golongan penjaja dan peniaga kecil sentiasa dekat di hati – PM Anwar

- Diterbit 2 November 2024 8:54 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan penjaja dan peniaga kecil sentiasa dekat di hatinya.

Beliau berkata demikian pada program Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 (HPPK 2024) di Pulau Pinang.

Ketika program tersebut beliau bersama pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh harmoni dan meriah.

“Golongan penjaja dan peniaga kecil sentiasa dekat di hati saya dan peluang ini saya gunakan untuk mendekati mereka sambil bertegur sapa serta melihat sendiri produk yang ditawarkan.

“Hitam putih kehidupan rakyat termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil perlu dirasai khususnya permasalahan dihadapi,” katanya di Facebook.

Menurut Anwar permasalahan yang perlu diselami antaranya dari segi kos sara hidup dan bantuan kewangan demi survival, kemandirian ekonomi serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Beliau juga sempat memberi pesanan di dalam ucapan perasmiannya supaya golongan penjaja dan peniaga kecil terus memainkan peranan bagi membantu memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik lagi.

“Saya maklumkan, penyasaran subsidi yang dilaksana kerajaan merupakan antara langkah penjimatan dalam urusan perbelanjaan negara.

“Hatta ia memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah selain membantu membangun kelompok penjaja dan peniaga kecil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas