Labuan

Golongan kurang berkemampuan terus diberi perhatian

AZMAN (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zurinah baru-baru ini
- Diterbit 29 Januari 2024 11:53 AM MYT

WARGA Labuan khususnya golongan yang tidak berkemampuan akan terus diberi perhatian oleh Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata pihaknya bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan akan sentiasa turun padang untuk membantu golongan tersebut.

“Rakyat di Labuan sentiasa diberikan perhatian oleh Pejabat Perdana Menteri mahupun JWP sepertimana hasrat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang mahu mengadakan lawatan setiap bulan bagi menangani isu-isu yang berbangkit sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat di pulau ini terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni sembilan buah keluarga kurang bernasib baik di pulau bebas cukai itu.

Sementara itu, ibu kepada penerima bantuan, Dinah Afrinah Rahman, 7, yang merupakan pesakit kanser cardinal menzahirkan kesyukuran atas keprihatian dan sumbangan yang disalurkan bagi memudahkan urusan perubatan anaknya.

“Tiada kata mampu saya ungkapkan selain berterima kasih kepada pihak yang terlibat memberikan sumbangan kepada anak saya. Ia sangat berguna untuk menampung kos perubatannya di Hospital Likas, Sabah setiap bulan,” ujar Zurinah Md Yussof menahan sebak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas