Berita

Gleb kuasai peringkat pertama LTdL 2022

- Diterbit 11 Oktober 2022 11:30 AM MYT

PELUMBA Rusia Gleb Syritsa, menjuarai peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 melibatkan jarak 157.3 kilometer (km) dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini.

Pelumba Pasukan Astana Qazaqstan berusia 22 tahun itu, terlebih dahulu melepasi garisan penamat dengan mencatatkan catatan masa 3 jam 43 minit 33 saat, pada perlumbaan berbasikal berprestij Asia itu.

Pelumba pasukan Pasukan Uno-X Pro Cycling Eriend Blikra dan pelumba Pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) Jambaljamts Sainbayar, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga ketinggalan empat saat di belakang Gleb.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Gleb berjaya menyarung dua jersi – Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dan Jersi Hijau (Raja Pecut).

Jersi Merah (Raja Bukit) dan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia menjadi milik Jambaljamts.

Peringkat kedua esok dari Kuala Klawang ke Raub, sejauh 178.9km, iaitu laluan paling panjang pada edisi kali ini, menawarkan tiga zon pecutan di Simpang Durian, Karak dan Mempaga, selain dua zon pendakian di Petaseh dan Bukit Damar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas