MEYAKINI bahawa semua ahli akan selamat di alam kubur kerana dibantu oleh syafaat Abuya Ashaari Muhammad untuk menjawab soalan Malaikat Munkar dan Nakir.
Demikian jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam sesi penerangan mengenai perkembangan dan tindakan berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, dapatan tersebut dibongkar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hasil temu bual saksi-saksi terlibat.
Menurutnya, antara penyelewengan adalah merangkumi akidah, syariah selain akhlak, tasawuf dan muamalat.
“Dari sudut akidah, mereka ini meyakini bakal munculnya Imam Mahdi yang ghaib selama ini yang merujuk kepada Syeikh Suhaimi.
“Selain itu, Fata At-Tamimi (Pemuda Bani Tamim) merujuk kepada Abuya Ashaari Muhammad yang juga ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi iaitu Syeikh Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman nanti,” katanya.
Sesi Penerangan Menteri berkaitan isu GISBH itu dibentangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) diikuti Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Mohd Na’im berkata, dari segi syariah, jemaah telah didoktrin untuk memohon keberkata, bukan lagi kepada Abuya tetapi kepada kepimpinan seperti Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik.
Katanya, mereka juga mengamalkan bertabarruk iaitu mengharapkan berkat daripada Allah SWT dengan perantara melalui air basuhan tangan, tisu dan kain yang digunakan oleh pemimpin, air rendaman baju, rambut, janggut dan darah bekam pimpinan dan bekas pimpinan.
“Mereka juga melaksanakan solat jamak setiap hari dan tidak melaksanakan solat Jumaat.
“Pasangan yang telah ditentukan untuk berkahwin perlu melalui pelaksanaan dua kali majlis akad perkahwinan iaitu akad perkahwinan syarie yang diakadkan oleh pemimpin yang berwakilkan wali dan akad perkahwinan secara perundangan yang dilaksanakan oleh pendaftar nikah atau imam yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.
Dari segi akhlak, tasawuf dan muamalat pula katanya, mereka memisahkan tempat tinggal suami, isteri dan anak-anak (seawal usia dua tahun).
Katanya, pengikut yang keluar daripada GISBH tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan isteri, anak, ibu dan bapa.
“Jika suami keluar jemaah akan dianggap terputus daripada jemaah dan isteri serta anak-anak adalah hak jemaah dan sebaliknya.
“Pengikut juga diminta untuk berkorban dan memerah keringat dalam serba kekurangan tanpa gaji untuk kepentingan GISBH manakala pemimpin hidup penuh kemewahan dan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, rumah-rumah amal yang dianggarkan lebih 100 buah di seluruh Malaysia ditubuhkan bagi meletakkan anak-anak kepada jemaah GISBH dengan tujuan menjana pendapatan melalui derma dan infak orang ramai dengan hujah mereka semua adalah anak-anak pejuang ‘fi sabilillah’.
“Kebanyakan kanak-kanak dibesarkan dalam rumah amal dan dipisahkan daripada ibu bapa mereka sejak berusia dua tahun lagi.
“GISBH juga menipu status kanak-kanak yang berada di rumah amal sebagai anak yatim kerana mereka dianggap masih dalam perjalanan untuk berjuang,” katanya.
Tambahnya, JAKIM secara berterusan melaksanakan kajian dan penelitian terhadap dakwaan semasa dan mendapati terdapat unsur-unsur yang berkait dengan penyelewengan seperti mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat. – WILAYAHKU