Berita

Giat usaha promosi dan lestarikan tapak geowarisan Labuan

ANTARA peserta yang menyertai Program Kembara Citra Sejarah dan Geowarisan 3.0 anjuran Jabatan Mazium Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 2 November 2023 11:30 PM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

PROGRAM Kembara Citra Sejarah dan Geowarisan 3.0 yang dianjurkan Jabatan Muzium Labuan menjadi pentas mempromosi dan melestarikan tapak-tapak warisan di Labuan.

Pengarah Muzium Labuan, Muhammad Azam Adnan berkata penganjurannya mampu memberi kesedaran dan ilmu kepada masyarakat setempat dalam usaha untuk memulihara dan mempromosikan tapak-tapak geowarisan.

“Ia juga menarik lebih ramai pelancong melawati tapak bersejarah serta mengenali rapat sosiobudaya pulau tersebut.

“Pelaksanaan program ini merupakan tanda sokongan padu pihak kami bersama agensi kerajaan, industri pelancongan, institusi pendidikan, persatuan, golongan belia dan komuniti setempat,” ujarnya.

Katanya, program tersebut menyokong usaha jejak warisan dan sumber geologi megalitik, biodiversiti, arkeologi, sejarah dan budaya yang terdapat di Labuan.

“Program ekopelancongan ini merangkumi lawatan kembara ke destinasi persinggahan geowarisan di Labuan iaitu tapak warisan Stesen Trigonometri Bukit Timbalai 1948, Tapak Budaya Geopark Labuan Kampung Tradisi Atas Air Bebuloh Laut, Tapak Terowong Bekas Arang Batu Lubok Temiang dan Rumah Bumbung 12 Taman Botanikal Labuan 1854,” katanya kepada pemberita pada program tersebut, baru-baru ini.

Lebih 30 peserta membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta menjayakan program Kembara Citra Sejarah dan Geowarisan 3.0 sekali gus melestarikan tapak-tapak warisan di Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas