Lensa

GENTA 2024 meriahkan Hari Malaysia

- Diterbit 20 September 2024 12:10 PM MYT

SEMPENA dengan Sambutan Hari Malaysia 2024‚ Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur 2024 (KL GENTA 2024) mulai 10 hingga 15 September 2024 lalu.

Malam kemuncak pada 14 September 2024 di Dataran Merdeka dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur‚ Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif.

Menurut Maimunah‚ festival ini dilihat sebagai platform utama pembelajaran dan interaksi kepada semua peserta festival bagi mempelajari keunikan muzik pergendangan‚ tarian‚ kostum dan seni warisan negara-negara yang menyertai festival ini.

“Ianya merupakan salah satu inisiatif DBKL untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara menerusi segmen pelancongan budaya‚” katanya.

Seramai 250 peserta daripada 11 kumpulan merangkumi pemuzik pergendangan dan penari dibawa khas dari Thailand‚ Vietnam‚ Singapura dan Indonesia manakala penyertaan tempatan pula adalah dari Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta penglibatan Sekolah Seni Malaysia Johor dan Kumpulan Kesenian DBKL.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan Aina Abdul‚ Noraniza Idris dan Osama Yamani selain persembahan Dikir Barat Akademi Arjunasukma. – WILAYAHKU

LENSA (Foto oleh DBKL):

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas