Berita

Gema Syukur 2025 serlah rasa syukur sambut 2025

- Diterbit 30 Disember 2024 7:00 PM MYT

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Program Gema Syukur 2025 bagi menyerlahkan rasa syukur dalam menyambut tahun baharu yang bakal tiba dengan penuh makna.

Program itu bermula pada pukul 6 petang esok sehingga 9 pagi (1 Januari 2025) di Masjid Putra, Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan inisiatif strategik agensi-agensi di bawah jabatan bersama rakan strategik iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MyFundAction dan Du’at Al-Falah.

Selain itu katanya, ia turut disokong Masjid Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

“Penganjuran program sebegini adalah penzahiran iltizam agensi-agensi di bawah jabatan untuk terus memacu ummah dalam menyemarakkan syiar Islam di bumi Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Na’im berkata, empat objektif digariskan untuk dicapai melalui program ini iaitu menzahirkan tanda kesyukuran atas segala nikmat yang diperoleh sepanjang tahun serta memupuk kebersamaan dan mengeratkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat.

Selain itu katanya, ia membangkitkan semangat motivasi dan tekad mencapai kejayaan dengan azam tahun baharu selain bermunajat dan berdoa semoga negara Malaysia dijauhi dari segala musibah, bala bencana dan wabak penyakit.

Jelas beliau, selain bacaan Yaasin dan doa, pengisian lain adalah tadabbur al-Quran, qiamullail, podcast ‘Jerat Nafsu’ dan forum ‘Demi Masa’.

“​Demi membangkitkan semangat dan tekad untuk mencapai kejayaan, program ini tidak melupakan mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut beliau, seramai 100 asnaf akan disantuni untuk menerima sumbangan wang tunai RM200 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bakul makanan (daripada PPZ MAIWP dan MAPIM), serta kit kebersihan (daripada MyFundAction), sebagai tanda harapan serta sokongan untuk mereka terus melangkah ke tahun yang baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas