Berita

Gegaran di Ipoh tiada kaitan aktiviti letupan di kuari

Gambar hiasan
- Diterbit 21 Oktober 2024 4:39 PM MYT

KEJADIAN gegaran yang berlaku di daerah Ipoh, Perak kira-kira jam 11.06 pagi tadi, tiada kaitan dengan aktiviti letupan dijalankan di kuari.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan dan sekaman dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di kuari sebelum jam 12 tengahari.

“Hasil semakan dengan Jabatan Meterologi Malaysia mendapati tidak terkesan sebarang aktiviti seismik di daerah Ipoh walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia jam 11.24 pagi tadi.

“Pihak polis sedang menyiasat mengenai insiden ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi Pusat Kawalan Kontijem Perak. Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini sehingga mencetuskan kegusaran awam,” kata Azizi dalam satu kenyataan.

Pagi tadi penduduk Ipoh cemas akibat merasi gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan.

Pengguna media sosial mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Kejadian sama juga berlaku di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta turut dirasai pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Kejadian terbabit turut menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas