Selebriti

Ganding nama besar, Amin Haridz teruja tunggu tayangan Rock Sampai Jannah

Sharul Kamal dan Afieq Shazwan.|
- Diterbit 11 Julai 2022 2:52 PM MYT

PERASAAN teruja mula dirasakan oleh pelakon baharu yang mahu dikenali dengan nama Amin Haridz tatkala satu persatu naskhah lakonannya mula diterima ramai.

Bagi pelakon berusia 27 tahun ini, dia gembira apabila menerima maklum balas peminat terutamanya orang terdekat yang sentiasa memberikan maklum balas positif setiap karya yang dilakonkan.

“Memang lain perasaan apabila mendapat maklum balas positif daripada peminat yang menonton. Ada yang suka dan ada juga yang memberikan maklum balas sebaliknya.

“Tapi saya terima sahaja maklum balas mereka sama ada baik atau tidak. Itu dijadikan petanda yang mereka menonton dan menghargai karya lakonan saya,” kata Amin Haridz lagi.

AMIN Haridz semakin dikenali ramai.

Sejak berkecimpung dalam bidang lakonan, Amin sudah terlibat dalam beberapa buah naskhah drama termasuklah Hari Hari Hari Raya, Syurga Nur Muhammad, Cikgu Nerd dan Rentap.

Kali ini, anak kelahiran Pahang itu tampil dengan telefilem Rock Sampai Jannah yang akan ditayangkan pada Selasa ini pukul 9 malam menerusi TV2.

Tambahnya lagi, dia gembira dapat bergandingan bersama dengan Afieq Shazwan, Sharul Kamal dan Ayie Ilham dalam sebuah kisah yang bakal menarik perhatian penonton.

“Memang ini merupakan antara telefilem yang ditunggu-tunggu oleh kami kerana jalan cerita yang begitu santai dan mencuit hati.

“Kisah santai mengenai empat pemuda yang taksub dengan muzik rock menjadi intipati penting kepada kisah ini. Saya harap semua akan menonton dan memberikan maklum balas.

“Setidaknya itu akan menjadi pelajaran baharu kepada saya untuk terus memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.

AMIN seronok dan rasa bertuah digandingkan nama-nama besar seperti Ayie Ilham, Sharul Kamal dan Afieq Shazwan.

Rock Sampai Jannah mengisahkan tentang empat orang pemuda yang terlalu taksub dengan muzik genre rock.

Mereka sanggup berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membuktikan kepada orang kampung bahawa mereka mampu berjaya dengan apa yang diminati.

Selain keempat-empat pelakon berkenaan, telefilem ini turut dibintangi oleh Didi Zakil, Rosnah Johari, Lan Siro dan Zuhairi Ibrahim.

Bercerita mengenai pengalaman bergandingan dengan nama-nama besar yang lain, Amin Haridz mengakui gembira dapat menimba ilmu baharu daripada mereka.

“Apabila bergandingan dengan nama besar, mereka banyak membantu untuk mencantikkan lagi mutu lakonan. Sebab itu saya teruja setiap kali masuk ke set.

“Kebanyakan orang berpengalaman tidak lokek memberikan tips dan panduan. Sebagai orang baharu, saya amat menghargai dan berterima kasih kepada mereka,” tambahnya lagi.

Selain itu, Amin Haridz juga akan terlibat dalam penggambaran dalam sebuah telefilem berjudul Waris Muhammad untuk RTM dan sebuah drama bersiri 20 episod untuk TV3. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas