ALAM Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, menyeru orang ramai membudayakan amalan membawa beg guna semula dan bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan sebagai langkah mudah untuk memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata sebagai peneraju dalam penyelesaian alam sekitar, mereka akan meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik sekali guna yang memberi kesan terhadap alam sekitar.
“Penggunaan beg plastik sekali guna memberi impak yang besar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem.
“Oleh itu, kami ingin mengajak orang ramai untuk bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah untuk memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat. Ia juga bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perubahan positif dalam amalan harian mereka,” katanya.

Shariman Yusuf berkata Alam Flora turut menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah.
“Ini juga dapat mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.
“Jika secara purata kita menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan di dalam bulan Ramadan dan jika kita menggantikannya dengan beg guna semula, anda telah mengurangkan sebanyak 90 beg plastik daripada ianya dibuang ke tapak pelupusan. Bayangkan, kalau didarabkan dengan beratus ribu orang.” tegas Shariman.
Beliau berkata demikian selepas program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya. Hadir sama untuk mengagihkan beg guna semula dan bubur lambuk ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Tambahnya sebagai langkah memberi didikan dan kesedaran secara berterusan, Alam Flora telah mengagihkan 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada pengunjung di Bazar Ramadan, Presint 3, di sini.
“Usaha kecil oleh Alam Flora ini diharapkan dapat mencetus satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar apabila kita kurangkan penggunaan beg plastik secara total,” katanya. – WILAYAHKU