USANITA Sdn Bhd dengan penuh kebanggaan telah menganjurkan Gala Dinner Kita Merdeka Madani, Inspirasi Wanita Jiwa Merdeka pada 29 Ogos, baru-baru ini di Menara Kuala Lumpur.
Apa yang menarik, majlis makan malam itu bertemakan Elegant Neon yang menggabungkan keanggunan dan kemodenan dalam satu suasana yang penuh gemerlapan.

Acara yang berprestij ini dihadiri Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof Datuk Seri Dr Hasan.
Acara meriah itu dimeriahkan oleh Awal Ashaari dan Fiza Sabjahan sebagai pengacara majlis, serta persembahan istimewa dari penari LED, Hael Husaini dan Aina Abdul.
Kemuncak acara ini adalah penganugerahan Ikon Wanita Usanita kepada sembilan wanita ikonik yang telah menunjukkan kekuatan dan memartabatkan wanita dalam pelbagai industri.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Tan Sri Shahrizat kepada penerima anugerah yang terdiri daripada Nurul Nadirah Shamsul liani yang dinobatkan sebagai Wanita Rope, Fatin Nadzirah Mohd Arsad (Wanita Kimpal Besi Dalam Laut), Allison Yes Phui Se (Wanita Sukan Triathlon, Duathlon & Road Race) dan Kavita Sidhu (Aktivis Perjuangan Palestin).


Manakala lima penerima anugerah dari Perintis Usanita pula iaitu Nurun Nadia Masrom yang merupakan Pengasas Numom, Nurul Rena Rifaee (Pengasas Natugee), Saadiah Ibrahim (Pengasas MyRatu), Nasyrah Hanim Mohamad Zainuddin (Pengasas Chemilan) dan Nor Zawani Mohamed Zakaria (Pengasas GengAircond).
Anugerah yang paling berprestij pada malam penuh bermakna itu diberikan kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ikon Wanita Usanita, mengiktiraf beliau sebagai contoh teladan dan ikon kepada setiap wanita di Malaysia.
Dalam ucapannya, Datuk Adzliana, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, menyatakan bahawa penganugerahan ini adalah penghormatan kepada wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan keberanian dan kecekalan dalam pelbagai bidang.
“Pengiktirafan ini diharap dapat menyuntik semangat lebih ramai wanita untuk terus berdiri teguh dan jangan mudah patah semangat, walau apa jua cabaran yang dihadapi,” kata beliau dengan penuh inspirasi.

Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian wanita-wanita ikonik, tetapi juga menandakan komitmen Usanita dalam memperkasakan wanita dan memartabatkan perjuangan mereka dalam masyarakat.
Dengan tema Elegant Neon, acara malam ini menjadi simbol gabungan tradisi dan kemodenan, memperlihatkan keindahan dan kekuatan wanita dalam setiap aspek kehidupan. – WILAYAHKU