GABUNGAN Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) menuntut agar diberikan satu kerusi senator dalam Dewan Negara bagi memudahkan persatuan itu membela nasib penjaja dan peniaga kecil.
Ketua Niaga Muda Malaysia GPPPPKMM, Mohd Nadzri Kamarulzaman berkata terdapat keperluan untuk seorang wakil yang dapat membawa suara penjaja dan peniaga kecil di Parlimen bagi memudahkan kerajaan menilai sendiri keperluan golongan itu.
“Sebelum ini ada wakil daripada Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilantik sebagai Senator, tetapi untuk golongan penjaja kecil ini, jumlahnya mencecah 1.8 juta orang namun tiada seorang pun wakil penjaja kecil dilantik sebagai Senator.
“Kita minta ianya dimasukkan dalam Pelan Penjaja Kecil dan juga ada beberapa perkara lain termasuklah penubuhan yayasan yang khusus untuk menjaga golongan ini,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Tambahnya, perkara itu sedang diperjuangkan pihaknya dan menggesa Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk melihat tuntutan itu sebagai kebajikan dan kesempurnaan untuk golongan penjaja.
Menurut Mohd Nadzri, kerajaan perlu menyalurkan bantuan secara bersasar kepada golongan penjaja terutama yang berniaga secara atas talian di platform-platform perniagaan atas talian popular yang dimiliki warga asing.
“Dalam hal ini kami difahamkan kerajaan memang telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membantu peniaga tempatan, namun ia disalurkan terus kepada pemilik platform.
“Sepatutnya ia disalurkan kepada peniaga, tetapi apa yang terjadi ia diberikan terus kepada pemilik platform dan ia dilihat kerajaan membantu pemilik platform bukannya peniaga tempatan,” katanya. – WILAYAHKU