INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Perbadanan Labuan (PL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Pejabat FRIM Kepong, bagi pengurusan hutan bandar dan paya bakau di Labuan.
Dengan kerjasama tersebut, FRIM akan memberikan perkhidmatan kepakaran teknikal dalam aspek pengurusan hutan bandar agar mewujudkan Labuan sebagai pulau hijau dan lestari.
Kepakaran FRIM dalam aspek pemuliharaan kawasan hutan paya laut dapat dimanfaatkan sebaiknya sekali gus kawasan tersebut berpotensi untuk dijadikan tarikan ekopelancongan.
“FRIM akan memberikan khidmat kepakaran teknikal dalam pengurusan hutan bandar dan aborikultur termasuk penyelenggaraan pokok emeniti, landskap dan pokok teduhan pinggiran jalan,” jelas FRIM dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Perbadanan Labuan sedaya upaya akan menambah baik aspek pengurusan dan penyelenggaraan Taman Botanikal Labuan yang merupakan antara taman botanikal tertua di negara ini.
Ia bukan sahaja menempatkan pelbagai tumbuh-tumbuhan tetapi juga menjadi taman rekreasi bandaran yang boleh dikunjungi oleh pelawat.
Terdahulu, dalam sesi MOU tersebut, PL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail sementara FRIM diwakili Pengarahnya, Dr Ismail Parlan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Fadzilah Mahmud dan Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Dr Mohd Wan Shukri Wan Ahmad. – WILAYAHKU