Berita

Fokus empat teras utama pastikan kualiti pendidikan KEMAS seiring era digitalisasi

- Diterbit 17 Mei 2024 11:36 AM MYT

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memberi fokus kepada empat teras utama dalam memastikan kualiti pendidikan di  Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menepati matlamat ditetapkan seiring dengan peredaran era digitalisasi masa ini.

Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata empat teras itu ialah meningkatkan keupayaan digital personel, menyediakan kumpulan bakat, membangunkan bahan pembelajaran digital serta menyediakan kemudahan peralatan ICT, akses Internet, kandungan digital dan tadbir urus digital yang lebih berkesan.

“KEMAS telah bergerak sejak 2023 bagi merangka empat teras utama untuk memastikan pendidik bersedia dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pendidikan digital semasa, seiring dengan tema hari guru tahun ini ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai empat teras utama berkenaan, Ahmad Kamal Idris berkata teras pertama iaitu meningkatkan keupayaan digital personel akan dibuat melalui pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel dan program kompetensi digital pendidik dengan kerjasama pakar akademik serta pihak industri.

Teras kedua, menyediakan kumpulan bakat, beliau berkata pendidik yang telah mengikuti kursus, bengkel atau program akan dijadikan sebagai pakar dalam bidang berkaitan pendidikan digital.

Bagi teras ketiga iaitu membangunkan bahan pembelajaran secara digital, beliau berkata melalui penganjuran Anugerah Inovasi dan Multimedia Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AIMPAK), ia merupakan platform dalam usaha mencungkil bakat dalam kalangan pendidik menghasilkan video pembelajaran yang relevan untuk diguna pakai.

“Malah kerajaan turut meluluskan sejumlah RM20 juta bagi tahun ini untuk pelan transformasi digital,” katanya.

Di bawah teras keempat, Ahmad Kamal Idris berkata KEMAS turut berusaha membekalkan kemudahan peralatan ICT seperti komputer riba dan akses Internet di kelas-kelas TABIKA melalui Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“KEMAS juga sedang membangunkan sistem tadbir urus secara digital lebih berkesan seperti pengenalan kepada e-Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang dapat membantu para pendidik membuat rancangan mengajar secara digital,” katanya.

Beliau berkata empat teras digariskan itu adalah seiring dengan hasrat kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengumumkan beberapa inisiatif sempena Sambutan Hari Guru semalam, antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas