DALAM usaha memperkukuh seni dan budaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) 2025 bermula 31 Mei hingga 29 Jun ini.
Menurut DBKL, FOKL 2025 menjadi platform mengumpulkan orkestra profesional, orkestra amatur dan orkestra komuniti di Malaysia mahupun antarabangsa.
“Yang menarik dalam festival kali ini adalah orkestra antarabangsa akan mempersembahkan lagu-lagu yang penuh dengan ciri-ciri kebudayaan negara masing-masing serta menggunakan alat muzik tradisional mereka tersendiri.
“Antaranya pada 13 Jun lalu, CR Youth Symphony mempersembahkan alat muzik tradisional Cina dan orkestra Sandhana menggunakan alatan muzik dari India. Kita juga mempunyai persembahan yang memainkan alat muzik flute di mana penonton dapat melihat saiz alat muzik tersebut daripada kecil sehingga besar,” katanya.
Selain itu, DBKL berkata FOKL 2025 menjadi medan dalam mencari bakat muda dari sekolah rendah dan menengah.
“Untuk makluman, pelajar sekolah rendah dan menengah juga akan mengambil bahagian dalam festival yang berlangsung di mana mereka akan melakukan persembahan pada 17 dan 24 Jun ini bertempat di Audiorium DBKL.
“Bengkel muzik orkestra turut diadakan di mana ia melibatkan golongan belia menerusi program bengkel dengan Youth Wind Orchestra dari Germany.
“Forum serantau mengenai pengurusan orkestra yang menghimpunkan tokoh-tokoh muzik daripada pelbagai negara termasuk wakil Persatuan Orkestra Simfoni Jepun, pengkritik muzik ternama dari Beijing serta pengarah orkestra berpengalaman dari Bangkok turut diadakan.
“Forum ini akan menjadi platform perbincangan dinamik untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta amalan terbaik dalam pengurusan orkestra moden dan merangka strategi pembangunan industri muzik orkestra di Asia Timur dan Tenggara secara kolektif,” katanya.
Tambahnya penganjuran FOKL 2025 adalah antara usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai liveable dan loveable city serta menarik lebih ramai pelawat ke ibu negara.
“Apabila menganjurkan Festival Orkestra, selain menarik minat anak muda serta menjadi platform mereka ketengahkan bakat, ia mampu menarik pelancong dari dalam mahupun luar negara sekali gus membawa sinergi ekonomi yang positif kepada Kuala Lumpur.
“Penganjuran festival juga selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di bawah kategori Music Tourism di mana ia akan memberi manfaat kepada warga kota, pemuzik, peniaga serta seluruh industri pelancongan di ibu kota,” katanya.
DBKL berkata FOKL 2025 menjanjikan bukan sekadar festival muzik, tetapi satu sambutan menyeluruh terhadap budaya, komuniti dan penyatuan bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berbudaya tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Jelasnya melalui kerjasama strategik bersama Kuala Lumpur Society, pihaknya turut menyasarkan peluasan skala penganjuran festival ini pada masa akan datang, dengan matlamat untuk memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat perkembangan seni muzik orkestra di rantau Asia Tenggara.
“Seterusnya bagi memastikan akses seni yang menyeluruh, DBKL turut berkolaborasi dengan Persatuan Kebajikan OKU GNB untuk memudahkan kehadiran dan penyertaan golongan kurang upaya (OKU) ke persembahan pilihan mereka.
“Langkah ini sejajar dengan komitmen DBKL untuk menjadikan seni sebagai medium perpaduan dan milik bersama seluruh warga kota,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket masuk percuma bagi sebahagian besar persembahan melalui platform rasmi CloudJoi. Platform ini juga menyediakan jadual penuh persembahan dan maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan sepanjang festival berlangsung. – WILAYAHKU